‘Al-Arqam’ merupakan satu nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat kita. Al-Arqam terkenal sebagai pertubuhan dakwah yang cukup kontroversi dari dahulu sehingga kini. Pertubuhan ini mengundang banyak tanggapan negatif kerana penampilan dan perbezaan ajaran agama Islam yang dibawa. Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari Muhammad atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Abuya’ oleh para pengikutnya. Pada awal penubuhannya pada tahun 1968, hanya ada 10-12 orang ahli. Namun begitu, peningkatan ahli dapat dilihat apabila pada tahun 1976 seramai 40 orang ahli telah bernaung di bawah Al-Arqam dan secara mendadak telah mencatat sekitar 5,000 – 6,000 ahli pada tahun 1987. Mengikut rekod Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, pada tahun 1994 dianggarkan pengikut fanatik Al-Arqam adalah seramai 6,000, manakala 15,000 lagi pengikut yang bersimpati. Pengikut Al-Arqam kalau diikutkan tidak lah seramai mana, namun bertebaran di seluruh pelosok negeri, malah ada juga yang menetap di pelbagai negara. Senang sahaja untuk mengenali pengikut Al-Arqam ini. Mereka kebanyakannya akan memakai jubah; kadangkala berwarna hijau kadangkala hitam, berserban dan bercelak. Bagi pengikut perempuannya pula, mereka akan mengenakan jubah serta memakai purdah.
Bagaimana Al-Arqam Beroperasi
Pada 1977, Al-Arqam mula melebarkan sayapnya dengan meneroka bidang ekonomi. Beberapa jenis perniagaan diceburi dan banyak kilang-kilang makanan halal berteraskan Islam dibuka. Al-Arqam juga mula membuka kedai-kedai perniagaan. Pengikut Al-Arqam juga bijak menggunakan teknologi moden dan media masa bagi mempromosikan perniagaan. Mereka menggunakan media elektronik dan media cetak untuk menyampaikan segala maklumat kepada pengikutnya. Akhbar Al-Arqam edisi Jawi mula diterbitkan khas untuk para pengikutnya mendapat maklumat terkini berkenaan pertubuhan itu.
Seterusnya, Al-Arqam mula menunjukkan minat untuk meneroka bidang perubatan. Pada tahun 1978, Al-Arqam telah membuka klinik di serata tempat termasuklah beberapa cawangan klinik di Melaka dan di Kedah. Pada tahun 1980, kumpulan ini menjadi semakin kukuh apabila mula mengembangkan sayap dakwah nya ke luar negara bermula di sekitar Asia Tenggara dan berkembang hingga ke Eropah. Pada zaman kemuncaknya, kumpulan Al-Arqam mempunyai 24 markas di serata dunia. Sebagai contoh, di Indonesia, organisasi ini menjadi begitu kukuh dan mantap apabila mereka berupaya mewujudkan puluhan kilang-kilang memproses makanan halal di Jakarta hingga ke Aceh di samping mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada kalangan jemaah nya.
Pada tahun 1993, Al-Arqam telah menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC). Sebanyak 22 buah anak syarikat milik jemaah Al-Arqam diletakkan di bawah pimpinan AGC. Setelah itu, Al-Arqam membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Pada tahun 1994, Al-Arqam telah diharamkan kerana disyaki membawa ajaran songsang dan lari daripada ajaran Islam yang sebenar. Ia dikatakan membawa ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik. Selepas pengharaman Al-Arqam, Ashaari Muhammad telah membuka empayar baru dikenali sebagai Rufaqa yang mempunyai lebih 500 rangkaian perniagaan dalam dan luar negara. Antara lain, syarikat ini terlibat dalam sektor jualan runcit, multimedia, penjagaan kesihatan, dobi dan motivasi. Menerima nasib yang sama seperti Al-Arqam Group of Companies, Rufaqa juga mendapat tekanan daripada pihak berkuasa. Pada tahun 2006, syarikat ini diserbu oleh pihak berkuasa kerana dikatakan cuba menghidupkan semula kumpulan Al-Arqam yang diharamkan itu. Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd pula ditubuhkan untuk menyambung empayar organisasi Al-Arqam. Ia mempunyai 700 cawangan di seluruh dunia termasuk England, German, New Zealand, Australia dan Iran yang memfokuskan lebih kepada perniagaan pasar raya, kedai dobi dan pemprosesan makanan. Baru-baru ini, beberapa kakitangan Global Ikhwan Sdn. Bhd. telah ditahan di Arab Saudi kesan laporan yang dibuat mengatakan penglibatan syarikat ini dalam kegiatan ajaran sesat di Tanah Suci Mekah.
Pengasasnya Al-Arqam, Ashaari Muhammad telah meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010, akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Empayar Al-Arqam kemudiannya diteruskan oleh isteri dan anak-anak beliau sehingga kini.
Mengapa Bisnes Al-Arqam Boleh Mendapat Kejayaan?
Banyak kajian telah dibuat berkaitan dengan penglibatan Al-Arqam dalam bidang ekonomi dan kemampuannya untuk bergerak selama lebih daripada 4 dekad. Rahsia kekuatan Al-Arqam sering menjadi tanda tanya masyarakat umum dahulu dan kini. Berdasarkan beberapa buah buku terbitan Al-Arqam, ada dinyatakan asas kekuatan organisasi itu, iaitu iman yang sempurna, ukhuwah yang kuat dan persefahaman antara anggota dan pemimpin. Bagi Abuya, iman yang kuat dilihat mampu melahirkan organisasi yang kuat. Iman juga penting untuk membentuk semangat perjuangan kental dalam kalangan pengikut Al-Arqam untuk menghadapi cabaran dan dugaan. Para pengikut Al-Arqam juga sentiasa diingatkan untuk lebih cintakan akhirat dan tidak takut berhadapan dengan kematian. Mereka diajar untuk redha menanggung kesusahan berdakwah dan sentiasa beringat bahawa pencapaian material hanyalah alat untuk mencari kebahagiaan di akhirat.
Ukhuwah atau persaudaraan yang erat juga dianggap penting yang perlu ada dalam diri kesemua pengikut Al-Arqam. Tiada perbezaan keturunan, latar belakang, pekerjaan dan kedudukan sosial dalam kalangan pengikut Al-Arqam; kesemua mereka perlu bersatu dalam setiap aspek kehidupan. Mereka perlu mentaati dan melaksanakan syariat, mengikut semua program jemaah, meminta dan memberi maaf, memberi nasihat dan tegur-menegur jika terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pengikut lain, turut serta dalam melakukan aktiviti sosial seperti berkelah dan memperbanyakkan perjumpaan dan ziarah sesama pengikut. Dalam organisasi Al-Arqam sendiri, tidak wujud konsep hak milik persendirian, segala-galanya adalah menjadi milik para pengikut. Komitmen mereka terhadap perniagaan dan kepada ahli kumpulan yang lain cukup tinggi. Mereka tidak akan ragu-ragu untuk berkorban harta benda dan apa sahaja, kerana yakin ia adalah ibadah dan akan mendapat pahala di akhirat kelak. Mereka juga sentiasa berusaha untuk mencari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Keutuhan empayar Al-Arqam juga tidak hanya terletak kepada bilangan ahlinya yang ramai, kukuhnya rangkaian perniagaan yang dimiliki atau banyaknya bilangan aset yang ada. Empayar Al-Arqam utuh atas kebijaksanaan Abuya mencatur masa depan perniagaannya. Pengikut Al-Arqam amat patuh kepada arahan Abuya dan seolah-olah menganggap apa yang diarahkan seperti satu perjuangan yang harus dilaksanakan. Apabila timbul masalah, perkara itu perlu dirujuk kepada Abuya. Ketaatan pengikut Al-Arqam terhadap pucuk pimpinan begitu kuat, segala-galanya perlu dirujuk dan mendapat persetujuan daripada pemimpin, termasuklah hal-hal perkahwinan, pekerjaan sehinggalah masalah rumah tangga! Abuya dilihat sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang mulia. Segala pemikirannya dianggap mutiara berharga dan perlu ditransformasikan ke dalam kehidupan. Dengan berpegang kepada satu sumber, perjuangan pengikut dapat diselaraskan. Namun begitu, Abuya sendiri melihat perkara ini sebagai satu masalah untuknya. Oleh itu, beliau telah melantik wakil-wakil bagi setiap daerah atau peringkat untuk dijadikan tempat rujukan bagi menangani sebarang masalah dan untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.
Daripada aspek kewangan pula, tentu ada yang tertanya-tanya bagaimana Al-Arqam mendapat modal untuk perniagaannya. Jangan tak percaya, ramai yang mengaitkan penubuhan perniagaannya Al-Arqam denganhasil sumbangan daripada ahlinya yang komited dengan perjuangan dakwah Al-Arqam sendiri. Yang kaya menderma wang, manakala yang kurang berada akan menyumbangkan tenaga dan kudrat. Sekiranya diperlukan, puluhan ribu ringgit dapat dikumpulkan daripada derma dan sumbangan para ahli dan pengikut yang bersimpati. Selain itu keuntungan daripada perniagaan tidak digunakan sewenang-wenangnya, tetapi dijadikan modal untuk membuka perniagaan lain pula sehingga perniagaan mereka berkembang di dalam dan luar negara. Untuk menarik lebih ramai pengikut, Al-Arqam memastikan kebajikan jemaah nya terjamindengan adanya hospital yang memberi khidmat kesihatan percuma, sekolah percuma, rangkaian kedai pakaian dan keperluan asas yang murah agar tidak berlaku kebergantungan terhadap bantuan daripada pihak kerajaan.
Selain itu, kebanyakan perniagaan mereka diuruskan oleh jemaah Al-Arqam sendiri. Mungkin daripada aspek gaji pekerja, pengikut yang memahami erti perjuangan Al-Arqam dan patuh pada pucuk pimpinan Abuya ini tidak akan meminta lebih daripada yang sepatutnya. Oleh itu, perbelanjaan pengurusan dapat dikurangkan dan keuntungan yang diperoleh tentunya lebih tinggi. Keuntungan ini kemudiannya dijadikan sebagai suntikan modal untuk mengembangkan bisnes yang lain pula. Apabila jemaah sendiri dijadikan pekerja, maka tentulah terdapat perbezaan daripada aspek motivasi untuk memajukan perniagaan mereka. Kebanyakan jemaah ini rajin dan mesra melayan kerenah pelanggan. Mereka mengharapkan pelanggan itu tadi bukan setakat membeli barangan yang dijual, malahan dapat menjadi pelanggan tetap mereka! Dan sudah tentu, terdapat kelebihan apabila mempunyai pengikut sendiri yang ramai. Pengikut ini tadi akan bertukar menjadi pelanggan dan sudah tentu boleh dikategorikan sebagai pelanggan tetap!
Kesimpulan
Al-Arqam adalah satu pertubuhan yang berjaya membentuk akhlak peribadi ahlinya agar lebih mulia. Ketika pertubuhan dakwah lain jauh ketinggalan dalam soal ekonomi, mereka sudah berjaya membentuk suatu jenama perniagaan di bawah label Al-Arqam. Penyebaran dakwah Al-Arqam dilakukan melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan buku dan majalah, perniagaan, perubatan dan pertanian. Terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang pertubuhan Al-Arqam ini, namun yang lebih menarik adalah bagaimana mereka berjaya membina empayar perniagaan mereka sendiri.
Sistem ekonomi Al-Arqam mendapat pujian pelbagai pihak dan pengaruh Al-Arqam meluas hingga ke peringkat antarabangsa. Penglibatan Al-Arqam dalam kegiatan perniagaan memecahkan monopoli orang bukan Islam dalam bidang ekonomi, seterusnya menjadi pemangkin kepada penglibatan umat Islam dalam bidang perniagaan, perusahaan dan peruncitan. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu pertubuhan, namun tidak bagi Al-Arqam sendiri. Terdapat banyak lagi faktor kejayaan yang boleh diambil kira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, pengikut, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Al-Arqam juga telah dapat melahirkan golongan usahawan yang mampu bersaing dalam pasaran terbuka. Kini, ekonomi Al-Arqam hanya tinggal kenangan, dan tidak mungkin wujud kembali.
~end of story~
Sila baca entry Mak Abahku Arqam
No comments:
Post a Comment