Followers

nuffnang

Thursday, 16 June 2011

Perubahan Bulan, Matahari Suatu Peringatan Daripada Allah Swt.

ALLAH berfirman dalam al-Quran menjelaskan perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan adalah di bawah tadbir Allah. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit, terbenam matahari serta bulan.
Firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah.” (Surah al-Fussilat, ayat 37)
Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, antaranya memberi peringatan supaya hamba-Nya tidak melampaui batas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah.
“Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang di kalangan manusia.
“Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas’ud al-Ansari).
Gerhana bulan adalah amaran Allah untuk manusia supaya patuh dan setia di atas titah perintah dan menjauhi larangan-Nya. Gerhana bulan adalah suatu peristiwa yang menakjubkan kepada seluruh umat manusia kerana secara tiba-tiba bulan kehilangan cahayanya.
Sesungguhnya gerhana bulan akan berlaku dari tahun ke tahun sebagai peringatan Allah atas segala keterlanjuran dasar yang dilakukan sama ada disukai atau tidak kerana sampai satu ketika, gerhana bulan tidak pulih daripada gerhana dan bumi juga gerhana.
Firman Allah yang bermaksud: “Maka apabila mata terbelalak (ketakutan), dan apabila bulan hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan.” (Surah al-Qiyamah, ayat 7-9)
Mengikut sejarah, gerhana bulan berlaku beberapa kali pada hayat baginda Rasulullah SAW. Sementara gerhana matahari terjadi pada tanggal 10 Rabiulawal tahun ke-8 hijrah.
Gerhana matahari kebetulan berlaku sewaktu kematian putera baginda Rasulullah SAW iaitu Ibrahim ketika berusia 70 hari. Gerhana matahari terjadi sekali lagi pada 10 Muharam 61 hijrah sewaktu Saidina Hazim bin Ali dibunuh.
Ahli falak Islam yang masyhur di zaman silam, Imam al-Khawarizmi berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan itu mewujudkan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah.
Oleh kerana sewaktu berlakunya gerhana matahari, matahari berada hampir dengan bumi.
Pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang menyebabkan berlakunya perubahan angin yang memberi kesan kepada cuaca dan musim. Ini boleh membawa perubahan kepada tumbuhan, tanaman dan benda hidup di dunia.
Ummul mukminin Saidatina Aishah berkata, “Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah.
Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: Wahai umat Muhammad, jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Riwayat al-Nasai)

No comments: