Followers

nuffnang

Dr Badrul Amin

halwa kalbu

halwa kalbu

Tuesday, 8 March 2011

Saya Ibarat Seorang Muallaf


Satu ketika dahulu, namanya menghiasai pentas dunia seni tanah air. Ligat dan lincah geraknya, seiring kerancakan alunan muzik. Tidak perlu diperkenalkan lagi, dialah salah seorang anggota kumpulan rap yang terkenal.
Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Seboleh-bolehnya, dia mahu lari daripada bayangan kehidupan silam. Dunia lalu mahu ditinggalkan. Membina kebahagiaan dengan cara yang hakiki. Mengenal Rasulullah SAW, mengenal Penciptanya.
"Jujur, setelah hampir tiga tahun menyepi, saya tidak mengambil tahu langsung mengenai apa yang berlaku dalam dunia seni. Malah saya sudah tidak tahu siapakah artis yang paling popular, siapakah yang terkenal dan sebagainya.
"Saya temui damai abadi dengan kehidupan baru. Inilah yang saya cari selama ini. Tiada yang lebih manis daripada mencintai Rasulullah dan Allah". Itulah pengakuan jujur bekas anggota kumpulan Ruffedge, Amer Munawer Yusoff.
Lima tahun bersama kumpulan berkenaan, dia berjaya mendapat pelbagai kejayaan. Malah apa yang diperlukan sememangnya mencukupi. Namun, ada getaran di hati, membuatkannya tertanya-tanya.
"Ya, saya tertanya-tanya selepas ini apa pula? Kejayaan ada, peminat ada, apa yang saya perlukan cukup. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena di hati saya.
"Kemudian saya nekad untuk berhenti daripada dunia muzik. Begitu juga dengan keluar daripada kumpulan. Tarikh 27 September 2007 menjadi tarikh rasmi saya keluar. Ada sidang media yang diadakan bagi mengumumkan keputusan saya," ujarnya.
Setelah itu, dia kemudian memaklumkan kepada ibunya mengenai keputusannya berkenaan. Ternyata, ibunya tidak begitu terkejut dengan keputusan itu. Malah menyatakan sokongan dengan apa sahaja yang dilakukannya.
Menurutnya, ibunya berkata, dia perlu pergi mencari seorang guru untuk belajar mengenai agama. Namun, sempat juga berpesan agar mendapatkan guru yang betul agar tidak terperangkap dengan ajaran terpesong.
"Kemudian, saya menemui seorang ustaz yang menjadi guru saya. Alhamdulillah, beliau banyak membantu saya. Selepas itu, saya dapat rasakan perubahan demi perubahan yang berlaku ke dalam diri. Baru saya sedar, bahawa menuntut ilmu itu penting. Lagi satu, menuntut ilmu juga perlulah berguru," ujarnya.
Titik Perubahan
Menceritakan mengenai detik perubahan dalam dirinya, Amer berkata, semuanya bermula apabila dia diizinkan Allah untuk merenung ke dalam diri sendiri. Bahkan lebih daripada itu, dia cuba meletakkan dirinya dalam mengenal Rasulullah dan Allah.
"Namun saya juga tidak menafikan bahawa saya didatangi beberapa petunjuk termasuk mimpi yang seolah-olah mengajak diri ini untuk berhijrah ke kehidupan baru. Semuanya datang secara tidak dirancang dan saya mula merenungi segala-galanya.
"Kemudian, saya mula mengingati kata-kata ibu yang pernah dilontarkan ketika kanak-kanak dahulu. Ibu menyatakan bahawa kalau boleh dia mahukan saya menjadi sekurang-kurangnya seorang yang mendalami ilmu agama," katanya.
Pengisian selama menyepi
Amer berkata, selama menyepikan diri, dia merasakan seolah-olah tidak lagi mahu kembali ke dalam dunia muzik. Malah mengisi ruang-ruang yang ada itu untuk mengenal kembali diri sendiri di samping menuntut sebanyak ilmu.
Menceritakannya, Amer berkata, setelah mengikuti kelas-kelas pengajian, dia semakin tahu kekurangan diri. Namun, tidak disangka-sangka ilmu yang digali itu membuatkannya semakin mengenalkan dirinya kepada Rasulullah.
"Baru saya sedar bahawa Islam itu indah. Bahkan antara perkara yang membuatkan saya semakin sayangkan kehidupan baru ini adalah perasaan mencintai Rasulullah. Bayangkan, saya bagaikan tersedar bahawa selama ini fitrah kita semua telah diselamatkan oleh seorang manusia yang telah diangkat sebagai kekasih Allah. Dialah Rasulullah. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana perasaan ketika ini.
"Saya ibarat seorang muallaf. Seolah-olah saya baru mengenal Islam. Mungkin sebelum ini saya mudah mengucapkan kata-kata seperti Alhamdulillah dan pelbagai alasan lain yang diberikan untuk mengelakkan diri daripada melakukan kewajipan sebagai seorang Muslim. Sedangkan saya tahu tentangnya. Sekarang ini, kefahaman itu semakin mendalam dan keyakinan juga semakin bertambah," ujarnya jujur.
Amer berkata, sepanjang mengikuti kelas pengajian, dia bersyukur kerana ibunya sering memberikan semangat. Namun, sokongan yang paling besar diteriman adalah apabila ibunya sendiri menemaninya ke kelas. Bersama-sama dengannya. Tindakan itu, lebih membuatkannya yakin dengan pilihan yang dilakukan.
Ujian sepanjang perubahan
Benar. Tiada sesiapa yang terlepas daripada ujian. Apatah lagi ketika diri mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan. Ujian sentiasa datang. Namun, keteguhan hati menghadapinya dan kepasrahan kepada Ilahi pasti membibitkan ketenangan serta ketabahan.
"Ada dua ujian yang bertandang. Itu memang saya akui kerana saya sendiri mengalaminya. Namun, berkat kesabaran dan dorongan guru saya, Alhamdulillah, saya sabar untuk menghadapinya.
"Ujian pertama adalah membina kekuatan meninggalkan perkara-perkara yang tidak elok. Yelah, dahulu saya tidak nafikan pelbagai perkara kurang baik yang dilakukan. Jadi, untuk meninggalkan kesemuanya, memang kita akan diuji.
"Ia adalah antara cabaran terbesar saya untuk dihadapi. Bukan mudah untuk seseorang meninggalkan tabiat lama. Namun, Alhamdulillah, Allah memberikan ketenangan kepada saya untuk melaluinya," ujarnya.
Ujian kedua pula kata Amer, adalah perjuangannya untuk mengekalkan momentum melakukan kebaikan yang dipelajarinya. Malah mengakui, bahawa ia tidak begitu mudah untuk melaksanakannya kerana terlalu banyak dugaan yang hadir.
"Selepas mengenali Islam dengan lebih mendalam, baru saya tahu banyak betul tanggungjawab yang perlu saya lakukan. Bayangkan, kopiah yang saya pakai ini pun, hadir bersamanya adalah tanggungjawab. Walaupun kopiah ini asalnya adalah kain biasa sahaja. Tetapi selepas memakainya, ia menjadi satu tanggungjawab lain pula untuk saya laksanakan.
"Istiqamah dalam melakukan ketaatan dan kebaikan juga adalah ujian. Bagaimana untuk anda mengekalkannya merupakan cabaran. Jadi, saya berharap Allah akan sentiasa memudahkan laluan saya untuk berada di atas landasan yang diberikannya ini," katanya lagi.
Reaksi orang ramai
Penyepian dan perubahan yang dilakukannya, kata Amer sudah tentu tidak terlepas daripada menerima reaksi daripada orang ramai. Namun, katanya tiada sebarang reaksi keterlaluan yang diterimanya.
"Mungkin dalam kalangan teman-teman lama, tiada kejutan yang perlu ditakjubkan. Cuma mungkin dalam kalangan media atau pihak-pihak lain, apabila banyak yang berubah tentang diri saya ini," katanya.
Kemunculan semula
Kemunculan semula Amer di persada seni, kini membangkit iklim baru baginya. Namun, dia berkata, keyakinan dan percaya bahawa semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Katanya, setelah memikirkan bahawa dirinya mahu melupakan terus dunia seni, dia menerima panggilan daripada seorang teman lama untuk melakukan kemunculan semula. Namun dalam versi yang berlainan.
"Saya percaya semuanya punya hikmah tersendiri. Mungkin dahulu Allah telah letakkan diri saya di dalam dunia seni untuk menyampaikan mempelajari sesuatu. Sekarang ini pula, saya muncul dengan mesej yang lain.
"Alhamdulillah saya berjaya mencipta dua buah lagu untuk diterbitkan dalam album single pertama yang berjudul Seluruh Mahabbah. Ia ditujukan kepada puji-pujian kepada Rasulullah dan Allah," katanya


1 comment:

Tok Esah said...

subhanallah.. petunjuk Allah tu terlalu luas kan, hehe bagus lah amer nampak jalan yg lurus, hurm, tarikh dia berubah tu pun bermaknaa dalam hidup tok..

tarikh lahir tuuu!!! huhuhu

There was an error in this gadget