Followers

nuffnang

Showing posts with label Selebriti. Show all posts
Showing posts with label Selebriti. Show all posts

Thursday, 18 September 2014

Apakah engkau benar-benar kenal Nabimu?


Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaniahnya?
Jika engkau kenal peribadi nabimu pasti engkau akan jatuh hati padanya.
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya melalui selawat dan ingatan terhadapnya.
Engkau akan terasa terhutang budi padanya, kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia.
Muhammad SAW nabimu, seorang manusia teristimewa. Luar biasa yang tiada taranya. Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala.
Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas, agar engkau kenal nabimu sendiri. Siapa dia yang sebenarnya? Dia adalah Muhammad anak lelaki Abdullah, ibunya Aminah, bangsa Quraisy dari Bani Hashim. Nasabnya hingga ke nabi Ibrahim.
Dia adalah anak yatim piatu: seorang anak yang tidak pernah bermanja pada ibu dan bapanya seperti orang lain.
Dia lahir dari keluarga yang miskin dan dipelihara pula oleh keluarga yang miskin.
Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai Tuhan; iaitu yang diberi nama Nur Muhammad.
Dari Nur Muhammad itulah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan: Syurga, Neraka, dunia, akhirat, para malaikat, arasy, kursi, sirat, manusia, jin, haiwan jamadat dan lain-lainnya.
Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad SAW, yang lain tidak akan diwujudkan.
Kalau begitu, rupanya nabi kita membawa rahmat zahir dan batin kepada semua makhluk Tuhan.
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh, yang akhir nisbah jasad di kalangan para nabi. Dia adalah satu-satunya nabi yang diisra’kan dan dimi’rajkan.
Mukanya laksana bulan purnama kerana cahanya yang terang. Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan. Kerana itulah dia dipanggil Habibullah oleh Allah, ketua para rasul dan para anbiya, penghulu seluruh orang yang bertaqwa, imam seluruh manusia.
Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat. Orang yang memberi syafaatul kubro di akhirat dan orang pertama masuk syurga.
Al-Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap mukjizatnya yang kekal dan paling agung. Tiada siapa yang dapat menirunya.
Dia memiliki dunia dan akhirat sekalipun dia tidak boleh membaca dan menulis.
Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia yang tiada taranya. Bahkan lebih mulia dari para malaikat. Terutamanya kasih sayangnya kepada manusia begitu terserlah.
Tawadhuknya atau merendah diri pakaian peribadinya. Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah.
Tiada seorang pun yang melihat mukanya melainkan jatuh cinta padanya. Bahkan macam orang mabuk yang tidak boleh melupakannya. Sangat kasih dan simpati pada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda.
Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya. Orang yang bergaul dengannya macam-macam yang dapat dirasa. Adakalanya macam ibu dan ayah, adakalanya macam kawan yang membela dan setia, adakalanya dirasakan guru, adakalanya bagaikan pemimpin, adakalanya bagaikan ketua tentera.
Setiap orang yang semajlis dengannya merasakan dapat layanan yang memuaskan darinya. Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian dari Tuhannya.
Keberaniannya luar biasa. Dia boleh lalu seorang diri di hadapan musuh-musuhnya. Tidak sedikitpun rasa takut dengan raja-raja.
Setiap orang yang meminta tidak pernah dikecewakan, sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia.
Ibadahnya banyak terutama sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana terlalu lama berdiri di hadapan Tuhannya.
Tidak mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan. Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja. Satu perbuatan yang luar biasa. Tidak menghina, mencaci, dan merendah-rendahkan orang lain. Sangat pemalu dan merendah diri, sangat menerima keuzuran orang.
Sangat tahan menerima ujian berbagai-bagai keadaan dan bermacam-macam bentuknya. Kerana itulah dia dapat menjadi ketua ‘ulul azmi daripada keseluruhan para rasul alaihimusolatuwassalam.
Dia juga suka kepada seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah.
Hatinya begitu jaga, matanya sahaja yang tidur tapi hatinya tidak tidur. Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wudhuknya. Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan, 27 kali dia ikut sama atau turut serta. Tapi pelik, tidak pernah dia membunuh musuh- musuhnya walaupun seorang.
Anak-anak didikannya, itulah dia para sahabat hingga dia berkata: “Sahabat-sahabatku laksana bintang di langit, yang mana satu kamu ikut, kamu akan mendapat petunjuk.”
“Para ulama umatku laksana para nabi kepada Bani Israil”. Jolokan ini tidak didapati oleh umat-umat nabi sebelumnya. Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan dengan najis, dibaling dengan batu hingga berdarah, dibuang daerah selama tiga tahun, dikepung hendak dibunuh, berhijrah meninggalkan tanahair dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan.
Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara dan terserlah, iaitu namanya dikepilkan dengan nama Tuhannya. Iaitu di dalam dua kalimah syahadah. Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak diucapkan namanya bersama dengan nama Tuhannya.
Doa yang hendak dikabulkan, awal akhir kenalah menyebut namanya. Doanya sangat kabul, bahkan siapa yang hendak berdoa, dengan bertawassul dengannya lebih diterima doanya. Siapa yang banyak bersalawat dengannya diberi syafaat di akhirat. Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat.
Mukjizat-mukjizatnya yang terlalu banyak, menunjukkan kebenarannya. Tertulis di belikatnya khatamun nubuwwah.
Peluhnya bak mutiara, wanginya lebih wangi dari kasturi. Orang tidak dapat menentang matanya kerana kehebatannya amat terserlah di wajahnya. Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangannya bila bertembung dengan pandangannya. Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah Taala kepadanya. Sehinggakan sebahagian perkara yang belum terjadi seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakannya.
Terlalu kuat tawakalnya kepada Allah Taala. Hinggakan makanan yang berlebihan tidak disimpan di malamnya. Bahkan diberi pada yang berhak. Apabila dia membuang air tiada kesannya selepas membuangnya. Lalat tidak pernah hinggap pada badannya. Kalau dia berpaling, dia berpaling dengan seluruh badannya. Tidak makan seorang diri melainkan berkawan. Kalau dia tidak suka dia tidak makan makanan itu. Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya. Terlalu menjaga hak-hak jirannya walaupun orang kafir. Terlalu mengutamakan orang lain dari dirinya sendiri. Tidak pernah melaknat sesiapa sekalipun binatang.
Apa yang diperkatakan ibarat mutiara. Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya. Didikan dan pimpinannya sangat berjaya.
Diantara kesan didikan dan pimpinannya yang telah berlaku, yang telah dicatat di dalam sejarah. Dapat melahirkan orang yang sangat takut kepada Allah Taala. Bahkan Tuhan dijadikan idola mereka. Dapat menyatukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak, kaum, bangsa, dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya. Bahkan dapat menanamkan kasih sayang satu sama lain di kalangan manusia. Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya. Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya. Mampu menjadikan dunia bersih daripada noda dan dosa. Berjaya menjadikan orang merasa berpuas hati di bawah naungan pimpinannya sekalipun yang bukan islam. Mereka merasakan dia seorang pelindung dan penyelamat kepada seluruh makhluk sekalipun binatang.
Itulah dia Muhammad SAW. Itulah dia nabi kita, manusia luar biasa, yang istimewa, yang kejadian dan akhlaknya yang paling sempurna tiada tandingannya. Baru sedikit sahaja kita menceritakan tentangnya sudah mengkagumkan kita. Apakah peribadi sebegini tidak menjatuhkan hati padanya?
Apakah manusia ini kita boleh lupakan begitu sahaja? Apakah kita tidak terasa dia adalah manusia yang terlalu berjasa kepada seluruh manusia? Apakah kita tidak terasa terhutang budi padanya? Bahkan patut bersyukur padanya setiap masa. Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin lain di dunia? Jauh panggang dari api, macam langit dan bumi.
Lantaran itulah, orang yang benar-benar kenal nabinya dan Tuhannya, sanggup mati kerananya. Patut sangatlah dia menjadi idola dan ikutan kepada kita. Agar kita menjadi bangsa yang bertuhan, merdeka, bersatu, berakhlak mulia, bertamadun, berkasih sayang, bertolong bantu, berharmoni, bermaruah, bersih dari noda dosa. Allah dan akhirat menjadi matlamat hidup kita.

Monday, 7 July 2014

Tangisan Madinah Doktor Azizan Osman

diambil dari status update di fb dr Azizan..

Ya Allah tersentap jiwa saya sebentar tadi di bumi Madinah bila mendapat berita seorang yang saya kagumi, hormati dan panggil ummi iaitu Datuk Sharifah Aini telah kembali ke rahmatullah. Saya baru berkira-kira untuk menziarahi beliau bila kembali ke KL beberapa hari lagi nanti.

Ummi yang saya kenali adalah bermula dengan rapat kira-kira 3 t
ahun lepas apabila beliau menghubungi pejabar saya untuk mengundang saya ke rumah beliau di Petaling Jaya. Saya jarang-jarang menerima undangan sesiapa sahaja disebabkan kekangan masa saya bersama keluarga tetapi saya terima undangan Ummi yang tidak pernah saya kenal rapat selain biasa menonton beliau di kaca TV atau mendengar di corong radio. Tapi arwah ayah saya memang peminat ummi.

Saya menerima undangan makan malam di rumah ummi dan pertama kali bertemu serta bercakap dengan ummi, saya terus kagum dengan hajat dia yang sebenar. Selain ingin mengenali saya dan beliau memerhatikan apa yang saya lakukan sedikit sebanyak membangunkan ramai usahawan, ummi meminta pandangan saya tentang beberapa urusan perniagaan kerana beliau amat aktif mendapatkan dana untuk menyara lebih 2,500 anak yatim setiap bulan ketika itu (Sekarang harus lebih).

Saya terkesima kerana biasanya orang berjumpa saya bertanya soalan bagaimana nak besarkan perniagaan atau ingin meningkatkan pelaburan wang mereka tetapi ini pertama kali seseorang berjumpa saya untuk bertanya bagaimana beliau boleh membina perniagaan atau dapatkan dana bagi terus menerus membantu menyara anak-anak yatim yang ditajanya.

Pada ketika itu saya rasa kerdil sangat dan Alhamdulillah kami mula menjadi rapat selepas itu.

Ummi seorang yang berfikiran besar, positif dan sentiasa tahu apa yang dia mahukan. Bagi saya, dia seorang yang seperti gunung yang menjadi penaung kepada ramai orang lain. Dia
bukan sekadar penyanyi biasa-biasa tetapi dia menggunakan bakatnya untuk mencapai impian yang lebih mulia dalam hidupnya.

Ummi pernah diundang ke pentas seminar saya untuk meraikan hari ibu bersama para peserta saya dan bagi saya, ummi Datuk Sharifah Aini adalah seorang ibu yang sangat penyayang.

Beberapa kali saya menziarahi beliau tahun ini di rumah beliau bersama isteri saya dan beliau kelihatan uzur.

Tetapi beliau tidak putus mengaji setiap hari dan malam serta sentiasa khatam Al-Quran. Anda pasti terperanjat jika tahu betapa rajinnya ummi mengaji setiap hari. Beliau juga pernah dapat kami bawa untuk hadir majlis Mega Mawlid bersama Habib Syech di Stadium Shah Alam tahun lepas.

Saya sentiasa berdoa ummi sihat semula untuk berkhidmat kepada ramai yang memerlukan tetapi ternyata pagi ini Allah swt memanggilnya kembali lebih awal.

Saya rindu ummi dan dari kejauhan bumi Madinah ini, saya mendoakan ruh ummi bersemadi dengan tenang bersempena malam ramadhan yang mulia ini bersama ruh para solihin.

Buat Alif anak ummi, ummi sentiasa tidak putus bercerita tentang Alif dan bangga dengan Alif. He loves you so much.

Saya rindu ummi tetapi Allah swt lebih merindui ummi untuk berada di sisiNya.

Saya akan menziarahi ummi bila saya kembali ke Malaysia beberapa hari lagi. Salam kasih dari saya sekeluarga buat ummi dan doa saya tetap bersama ummi dari bumi Madinah ini Insya Allah.

Al-Fatihah buat ruh ummi. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun.

Anakanda Azizan Osman


P/S Baru sahaja genap 61 tahun umur ummi 2 Julai lepas. Ummi lahir 2 Julai 1953. Saya percaya mudah-mudahan Allah swt berikan husnul khotimah buat ummi.
— at Masjid Nabawi Madinah al Munawarah


pergi dalam bulan yang mulia, 
bila pergi semuanya kebaikan sahaja kita dengar tentangnya..
MasyaAllah, dia dijemput pulang dengan penuh kemuliaan!
Berbahagialah kamu Biduanita negara..
ALFATIHAH..