Followers

nuffnang

Thursday, 18 September 2014

Apakah engkau benar-benar kenal Nabimu?


Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaniahnya?
Jika engkau kenal peribadi nabimu pasti engkau akan jatuh hati padanya.
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya melalui selawat dan ingatan terhadapnya.
Engkau akan terasa terhutang budi padanya, kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia.
Muhammad SAW nabimu, seorang manusia teristimewa. Luar biasa yang tiada taranya. Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala.
Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas, agar engkau kenal nabimu sendiri. Siapa dia yang sebenarnya? Dia adalah Muhammad anak lelaki Abdullah, ibunya Aminah, bangsa Quraisy dari Bani Hashim. Nasabnya hingga ke nabi Ibrahim.
Dia adalah anak yatim piatu: seorang anak yang tidak pernah bermanja pada ibu dan bapanya seperti orang lain.
Dia lahir dari keluarga yang miskin dan dipelihara pula oleh keluarga yang miskin.
Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai Tuhan; iaitu yang diberi nama Nur Muhammad.
Dari Nur Muhammad itulah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan: Syurga, Neraka, dunia, akhirat, para malaikat, arasy, kursi, sirat, manusia, jin, haiwan jamadat dan lain-lainnya.
Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad SAW, yang lain tidak akan diwujudkan.
Kalau begitu, rupanya nabi kita membawa rahmat zahir dan batin kepada semua makhluk Tuhan.
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh, yang akhir nisbah jasad di kalangan para nabi. Dia adalah satu-satunya nabi yang diisra’kan dan dimi’rajkan.
Mukanya laksana bulan purnama kerana cahanya yang terang. Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan. Kerana itulah dia dipanggil Habibullah oleh Allah, ketua para rasul dan para anbiya, penghulu seluruh orang yang bertaqwa, imam seluruh manusia.
Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat. Orang yang memberi syafaatul kubro di akhirat dan orang pertama masuk syurga.
Al-Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap mukjizatnya yang kekal dan paling agung. Tiada siapa yang dapat menirunya.
Dia memiliki dunia dan akhirat sekalipun dia tidak boleh membaca dan menulis.
Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia yang tiada taranya. Bahkan lebih mulia dari para malaikat. Terutamanya kasih sayangnya kepada manusia begitu terserlah.
Tawadhuknya atau merendah diri pakaian peribadinya. Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah.
Tiada seorang pun yang melihat mukanya melainkan jatuh cinta padanya. Bahkan macam orang mabuk yang tidak boleh melupakannya. Sangat kasih dan simpati pada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda.
Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya. Orang yang bergaul dengannya macam-macam yang dapat dirasa. Adakalanya macam ibu dan ayah, adakalanya macam kawan yang membela dan setia, adakalanya dirasakan guru, adakalanya bagaikan pemimpin, adakalanya bagaikan ketua tentera.
Setiap orang yang semajlis dengannya merasakan dapat layanan yang memuaskan darinya. Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian dari Tuhannya.
Keberaniannya luar biasa. Dia boleh lalu seorang diri di hadapan musuh-musuhnya. Tidak sedikitpun rasa takut dengan raja-raja.
Setiap orang yang meminta tidak pernah dikecewakan, sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia.
Ibadahnya banyak terutama sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana terlalu lama berdiri di hadapan Tuhannya.
Tidak mendoakan musuh-musuhnya dengan kejahatan. Sangat suka meminta maaf dan memberi maaf kepada sesiapa sahaja. Satu perbuatan yang luar biasa. Tidak menghina, mencaci, dan merendah-rendahkan orang lain. Sangat pemalu dan merendah diri, sangat menerima keuzuran orang.
Sangat tahan menerima ujian berbagai-bagai keadaan dan bermacam-macam bentuknya. Kerana itulah dia dapat menjadi ketua ‘ulul azmi daripada keseluruhan para rasul alaihimusolatuwassalam.
Dia juga suka kepada seseorang kerana Allah dan murka juga kerana Allah.
Hatinya begitu jaga, matanya sahaja yang tidur tapi hatinya tidak tidur. Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wudhuknya. Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan, 27 kali dia ikut sama atau turut serta. Tapi pelik, tidak pernah dia membunuh musuh- musuhnya walaupun seorang.
Anak-anak didikannya, itulah dia para sahabat hingga dia berkata: “Sahabat-sahabatku laksana bintang di langit, yang mana satu kamu ikut, kamu akan mendapat petunjuk.”
“Para ulama umatku laksana para nabi kepada Bani Israil”. Jolokan ini tidak didapati oleh umat-umat nabi sebelumnya. Kerana menegakkan kebenaran, pernah dilemparkan dengan najis, dibaling dengan batu hingga berdarah, dibuang daerah selama tiga tahun, dikepung hendak dibunuh, berhijrah meninggalkan tanahair dan mendapat berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan.
Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara dan terserlah, iaitu namanya dikepilkan dengan nama Tuhannya. Iaitu di dalam dua kalimah syahadah. Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak diucapkan namanya bersama dengan nama Tuhannya.
Doa yang hendak dikabulkan, awal akhir kenalah menyebut namanya. Doanya sangat kabul, bahkan siapa yang hendak berdoa, dengan bertawassul dengannya lebih diterima doanya. Siapa yang banyak bersalawat dengannya diberi syafaat di akhirat. Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat.
Mukjizat-mukjizatnya yang terlalu banyak, menunjukkan kebenarannya. Tertulis di belikatnya khatamun nubuwwah.
Peluhnya bak mutiara, wanginya lebih wangi dari kasturi. Orang tidak dapat menentang matanya kerana kehebatannya amat terserlah di wajahnya. Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangannya bila bertembung dengan pandangannya. Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah Taala kepadanya. Sehinggakan sebahagian perkara yang belum terjadi seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakannya.
Terlalu kuat tawakalnya kepada Allah Taala. Hinggakan makanan yang berlebihan tidak disimpan di malamnya. Bahkan diberi pada yang berhak. Apabila dia membuang air tiada kesannya selepas membuangnya. Lalat tidak pernah hinggap pada badannya. Kalau dia berpaling, dia berpaling dengan seluruh badannya. Tidak makan seorang diri melainkan berkawan. Kalau dia tidak suka dia tidak makan makanan itu. Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya. Terlalu menjaga hak-hak jirannya walaupun orang kafir. Terlalu mengutamakan orang lain dari dirinya sendiri. Tidak pernah melaknat sesiapa sekalipun binatang.
Apa yang diperkatakan ibarat mutiara. Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya. Didikan dan pimpinannya sangat berjaya.
Diantara kesan didikan dan pimpinannya yang telah berlaku, yang telah dicatat di dalam sejarah. Dapat melahirkan orang yang sangat takut kepada Allah Taala. Bahkan Tuhan dijadikan idola mereka. Dapat menyatukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak, kaum, bangsa, dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya. Bahkan dapat menanamkan kasih sayang satu sama lain di kalangan manusia. Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya. Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya. Mampu menjadikan dunia bersih daripada noda dan dosa. Berjaya menjadikan orang merasa berpuas hati di bawah naungan pimpinannya sekalipun yang bukan islam. Mereka merasakan dia seorang pelindung dan penyelamat kepada seluruh makhluk sekalipun binatang.
Itulah dia Muhammad SAW. Itulah dia nabi kita, manusia luar biasa, yang istimewa, yang kejadian dan akhlaknya yang paling sempurna tiada tandingannya. Baru sedikit sahaja kita menceritakan tentangnya sudah mengkagumkan kita. Apakah peribadi sebegini tidak menjatuhkan hati padanya?
Apakah manusia ini kita boleh lupakan begitu sahaja? Apakah kita tidak terasa dia adalah manusia yang terlalu berjasa kepada seluruh manusia? Apakah kita tidak terasa terhutang budi padanya? Bahkan patut bersyukur padanya setiap masa. Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin lain di dunia? Jauh panggang dari api, macam langit dan bumi.
Lantaran itulah, orang yang benar-benar kenal nabinya dan Tuhannya, sanggup mati kerananya. Patut sangatlah dia menjadi idola dan ikutan kepada kita. Agar kita menjadi bangsa yang bertuhan, merdeka, bersatu, berakhlak mulia, bertamadun, berkasih sayang, bertolong bantu, berharmoni, bermaruah, bersih dari noda dosa. Allah dan akhirat menjadi matlamat hidup kita.

No comments: