Followers

nuffnang

Saturday, 29 January 2011

Ummah dituntut bercakap benar, perlu jauhi pembohongan elak nama baik Islam tercemar

HARI ini, dunia komunikasi maya memudahkan penyampaian maklumat sekali gus menjadikannya sebahagian perantara berkesan mengeratkan hubungan sesama insan. Malangnya, kemajuan teknologi maklumat disalah guna dengan menyebarkan berita palsu dan pembohongan bertujuan memfitnah serta memecahbelahkan manusia.Rasulullah tidak mengiktiraf orang berbohong sebagai Muslim. Ia menggambarkan betapa bencinya Rasulullah kepada umatnya yang berbuat demikian.
Tidak dapat dipastikan tujuan manusia berbohong sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Ada berdusta pada diri sendiri, sekali gus menunjukkan kehinaan tingkah laku yang kotor dan jijik. 

Sedangkan sifat dituntut agama ialah siddiq iaitu benar. Sifat benar adalah satu daripada sifat Allah seperti dinyatakan al-Quran bermaksud: “Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya selain daripada Allah?” (Surah al-Nisa’: Ayat 87). 

Antara sifat siddiq ialah benar pada niat iaitu tidak terdorong berbuat baik melainkan kerana Allah, benar pada lidah dengan menyampaikan berita yang tepat serta benar pada janji amanah. 

Benar adalah sifat yang memberi ketenangan kepada jiwa. Sifat mereka-reka cerita atau berbohong menyebabkan kegelisahan hati. 
Muslim yang baik tentunya tahu setiap perbuatan dipertanggungjawabkan ke atasnya di mahkamah Allah. Setiap amalnya mempunyai catatan dan nilai di sisi Allah. 

Justeru, perlu berusaha untuk jujur dalam perbuatan bahkan memilih diam daripada mengucapkan sesuatu yang tidak baik, merugikan diri serta orang lain. 

Sungguhpun begitu, berkata benar tidak dianjurkan jika mendatangkan mudarat. Dalam hal ini, berbohong dibolehkan, bahkan menjadi wajib untuk dilakukan. 

Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana ada syarat tertentu membolehkan pendustaan. Jika sesuatu yang mulia ingin dilakukan dapat dicapai tanpa berdusta, maka berdusta dalam keadaan ini haram hukumnya. 

Tetapi tidak ada cara lain untuk mencapai tujuan mulia serta kebaikan lebih besar melainkan dengan berdusta, maka dusta pada keadaan seperti ini dibolehkan. Ulama menjelaskan hukum dibolehkan berdusta jika maksud ingin dicapai adalah sesuatu yang harus pada syarak. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah dikatakan pendusta orang yang mendamaikan manusia (yang berseteru), melainkan apa yang dikatakan adalah kebaikan.” (Muttafaq ‘Alaih) 

Tetapi sebahagian ulama, antaranya al-Imam an-Nawawi dan Syaikh Ibnu Utsaimin berpendapat sikap utama dalam hal ini adalah ‘tauriyah’, iaitu mengungkapkan maksud yang benar dan tidak berdusta. Walau bagaimanapun meninggalkan ‘tauriyah’ dan tetap dengan ungkapan dusta tidak diharamkan dalam keadaan yang membolehkan dusta. 

Diriwayatkan Imam Bukhari, ketika Rasulullah membonceng kenderaan Abu Bakar, seseorang bertanya kepada Abu Bakar di tengah perjalanan mengenai Rasulullah, lalu beliau menunjukkan kepada Rasulullah dan mengatakan: “Ini adalah penunjuk jalanku.” 

Maka orang itu menganggap jalan dimaksudkan adalah makna hakiki, padahal yang dimaksudkan Abu Bakar adalah jalan kebaikan, semata-mata demi kemaslahatan Rasulullah daripada ancaman musuh. 

Justeru, umat Islam perlu menjauhi pembohongan baik melalui perkataan atau perbuatan kerana ia boleh menggugat nama baik agama. Islam menghalang penipuan, melainkan dalam keadaan terdesak serta menjauhi kemudaratan besar. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom



Sumber:: Berita Harian::..

No comments: