Followers

nuffnang

Tuesday, 5 October 2010

Renung-Renungkan..

Tika ini, konsep halal dan haram dalam Islam tidak lagi  menjadi pegangan bagi
setiap muslimin dan muslimat. Anak-anak muda  berlainan jantina kelihatan
sering berdua-duaan. Langsung tidak ada perasaan malu atau terfikirkan salah  atau
tidak tindakan mereka berdua-duaan, padahal dalam berdua-duaan  pasti ada orang yang
ketiga. Bagi mereka mungkin tindakan mereka  tidak salah kerana masih berada di khalayak ramai dan di tempat terbuka.
Namun, sejauh manakah peranan  orang ketiga bila berdua-duaan dengan lamanya di suatu tempat walaupun di kawasan terbuka?

Inilah masalah yang melanda golongan  belia kini. Pendidikan Islam yang
diajarkan semasa di alam persekolahan hanya diingat semasa hendak peperiksaan, setelah
itu, pelajaran tersebut dilupakan dan tidak dikaji lebih  mendalam, maka di
sini wujudlah pelbagai dosa kecil dan besar di  kalangan belia. Pemahaman mereka
bahawa berdua-duaan tanpa berpegangan tangan atau berpeluk cium masih  dikira
perbuatan yang tidak salah dari segi agama. Padahal detik  pertemuan dan
meluahkan perbualan yang mengundang perasaan cinta dan  rindu itu merupakan
satu zina. Malangnya, ramai belia yang tidak faham, dan ada juga segelintir yang tahu
tetapi buat-buat tidak tahu. Yang lebih sedihnya bila ada  daripada golongan
belia ini yang ibu atau ayahnya adalah ustazah atau  ustaz. Kalau mak atau ayah
yang ustaz atau ustazah dapat menyampaikan ceramah  agama atau dakwah kepada
orang lain, kenapa anak-anak masih  dibiarkan bergelumang dengan dosa?

Pernah satu ketika dulu saya  menegurkan mak saudara saya (kebetulan beliau
adalah penceramah agama jemputan dan mempunyai pendidikan agama di  Indonesia)
kerana membiarkan anak gadisnya keluar dengan teman  lelakinya, kita tidak tahu
apa yang berlaku, cuma berniat untuk  mengelakkan daripada sama bersubahat.
Malangnya, jawapan yang saya perolehi adalah " Mereka tidak pergi mana pun, di
sekolah juga". Tersentak saya dengan pernyataan mak saudara  saya yang juga
merupakan seorang ustazah. Sepatutnya beliau  menegurkan tingkah laku anak
gadisnya dan menasihati anak gadisnya tentang pergaulan berlainan jantina.
Ekoran daripada sikap mak saudara saya itu, akhirnya anak gadisnya telah
menconteng arang dimukanya sendiri.Selepas hal tersebut mak saudara saya
berasa amat malu untuk bersemuka dengan saya.

Saya berasa amat sedih dengan muslimah khususnya pada masa kini. Teringat
sewaktu saya masih  menuntut di IPTA, setiap cuti semester, ramai pelajar akan
berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing. Di kala inilah, perhatian saya
sering tertumpu pada pasangan kekasih, di mana sebelum berpisah si wanita akan
mencium tangan si lelaki dan si lelaki akan menghadiakan pula ciuman di dahi
siwanita. Perbuatan tersebut ternyata salah,  tetapi dibetulkan oleh mereka.
Tanpa segan silu akan berpelukan pula di khalayak ramai, sungguh memilukan. Semakin
runtuhnya akhlak muda-mudi Islam pada masa kini. Kerana  kurangnya pengetahuan
tentang agama, kerana kurangnya pengetahuan tentang halal dan haram, maka
semakin runtuhlah akhlak muda-mudi Islam. Kadang kala saya berasa sedih  dan
tidak terdaya untuk menegurkan tingkah laku yang tidak sepatutnya  berlaku di
depan mata. Saya hanya mampu beristighfar dan  membayangkan bagaimanakah akhlak
muda-mudi pada masa akan datang? Adakah semakin pulih? Atau ianya akan  menjadi
semakin teruk? Sama-samalah kita renungkan dan banyakkanlah  bermuhasabah diri.

sumber:
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2922

No comments: