SEOUL - Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-Won meletak jawatan semalam selepas menyalahkan rasuah dan kejahatan berakar-umbi sebagai punca feri Sewol karam dan menyebabkan 300 orang mati atau hilang.
Hong-Won mengaku beliau gagal mengendalikan dengan baik operasi menyelamat selepas feri Sewol terbalik bersama 476 orang dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar sekolah pada 16 April lalu.
"Saya memohon maaf kerana gagal menghalang kemalangan ini daripada berlaku dan gagal mengambil tindak balas sewajarnya kemudian," katanya.
"Saya percaya sebagai Perdana Menteri, saya perlu memikul tanggungjawab ini dan meletak jawatan," tambah Hong-Won.
Sebelum ini, ibu bapa dan waris mangsa menyelar kerajaan kerana lambat melancarkan operasi menyelamat yang menyebabkan banyak nyawa terkorban.
Mereka dan orang ramai turut berang berhubung dakwaan rasuah dan kelemahan standard keselamatan yang dikatakan antara faktor tragedi itu berlaku.
Feri Sewol didakwa membawa penumpang berlebihan pada hari kejadian manakala senarai penumpang pula tidak tepat dan tidak lengkap.
"Melihat insiden terbaharu ini, saya menyedari bahawa terlalu banyak kejahatan yang berakar-umbi dan rasuah dalam masyarakat kita," kata Hong-Won.
Perdana Menteri Korea Selatan memainkan peranan istiadat manakala sebahagian besar kuasa pemerintahan pula terletak dalam tangan Presidennya, Park Geun-Hye.
Dalam perkembangan berkaitan, Geun-Hye memutuskan untuk menerima perletakan jawatan Hong-Won tetapi hanya selepas kerajaan selesai melakukan operasi menyelamat dan mengapungkan feri tersebut.
Sementara itu di Jindo yang merupakan pulau terdekat dengan bangkai feri tersebut, waris mangsa-mangsa yang maut dan hilang memandang dingin langkah Hong-Won.
"Justeru ada?" kata seorang waris mangsa, Ji Hyung-Soo.
"Anak lelaki saya berada di dalam feri itu di dasar laut. Peletakan jawatannya tidak akan dapat mengurangkan rasa kecewa dan sedih ini," ujarnya.
Setakat semalam, angka kematian rasmi tragedi feri karam itu kekal 188 orang manakala sejumlah 114 mangsa lagi masih hilang. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz30A9hd0ve
Hakcipta terpelihara
Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan peletakan jawatan ini. Termasuklah pengetua sekolah yang membunuh diri itu kerana ramai pelajarnya yang terkorban dalam kejadian. Selesaikan dahulu masalah yang ada. Meletak jawatan atau membunuh diri tidak akan menghidupkan kembali mereka yang terkorban dan tidak mungkin menghapuskan rasuah 100%. Mereka seolah-olah melarikan diri dari tanggungjawab. Patut ke?
1 comment:
Kebanyakan PM luar negara macam itu tak sama dgn PM kita...
Post a Comment