Followers

nuffnang

Saturday, 25 December 2010

IM 11:: Ulama Yang Bersangatan Menentang Kemunculan Imam Mahdi

Tidak cukup dengan menolak bakal munculnya Imam Mahdi ke dunia ini, sebahagian ulama, cendekiawan dan sarjana telah berlebih-lebihan dalam penolakan mereka. Hal ini benar-benar terjadi sehingga mereka mendakwa bermacam-macam perkara, dari hujah yang dapat diterima oleh akal, hinggalah kepada hujah-hujah yang langsung tidak dapat diterima oleh akal kita yang sihat. Semua ini menunjukkan penolakan yang berlebih-lebihan dan penuh emosi, tanpa dapat memikirkan mana yang benar dan mana yang salahnya lagi. Akhirnya mereka menjadi sesat dan seterusnya cuba menyesatkan pula orang lain.

Penolakan ini bermula dari yang sederhana hinggalah kepada yang melampau. Hal ini sebenarnya adalah suatu yang sudah lumrah dalam kehidupan kita sehari-hari, di mana-mana pun jua, pada mana-mana bangsa, pada mana-mana agama pun. Semuanya ada yang bersikap kurang bijak dan tidak menunjukkan kematangan ilmu dan pengalaman.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian, mengeluarkan pendapat yang jauh bercanggah dengan jumhur ulama dan sebenarnya menimbulkan lebih banyak lagi perpecahan pendapat di kalangan umat Islam, antaranya:
  1. Rasa rendah diri kepada dunia Barat yang sedang ‘memerintah’ dunia ketika itu. Pertentangan yang amat hebat antara tamadun Islam yang hampir rata dengan bumi dengan tamadun Barat yang sedang marak mengembangkan sayapnya ke seluruh dunia menyebabkan para cerdik pandai ini mencari-cari kesalahan di dalam umat Islam sendiri. Hasilnya, mereka nampak bahawa kepercayaan kepada munculnya Imam Mahdi adalah salah satu punca yang memundurkan umat Islam. Maka disalahkanlah Imam Mahdi itu karena menyebabkan umat Islam mundur, dan tamadunnya hampir runtuh.
  2. Kurang ilmu agama, tetapi cuba mencampuri urusan agama. Ini berlaku kepada beberapa orang cerdik pandai terutama di Timur Tengah dan Mesir. Akibatnya mereka terjebak dalam perangkap yang sengaja mereka cari dan masuki. Akibatnya, mereka sampai ke tahap merendah-rendahkan peribadi Rasulullah SAW sendiri, sama ada secara mereka sedar atau tidak sedar.
  3. Berlainan akidahnya daripada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mereka ini kebanyakannya adalah dari kalangan pengikut mazhab Syiah. Antara tujuannya adalah untuk menimbulkan ragu-ragu terhadap hadis mengenai Imam Mahdi Ahlus Sunnah dan pada masa yang sama cuba menerapkan kepercayaan terhadap Imam Mahdi Syiah mereka pula.
  4. Pengaruh persekitaran yang menekan mereka. Ketika itu, umat Islam memang diakui sedang amat lemah dari segala segi. Banyak perbalahan berlaku disebabkan oleh perkara remeh-temeh, khilafiah dan ijtihad semasa. Perbalahan yang berlaku antara pengikut mazhab yang berlainan juga boleh membawa pergaduhan dan pertumpahan darah sesama umat Islam. Antara soal yang sering dipertikaikan termasuklah mengenai diri Imam Mahdi. Karena itu, mereka berasa perlu mencampuri urusan ini dan mengeluarkan pendapat mereka pula, yang mereka rasakan betul, walhal pendapat merekalah yang sebenarnya pelik-pelik dan ganjil-ganjil. 
  5. Pengaruh pendidikan sekular yang menguasai jiwa dan pemikiran mereka. Maka berdasarkan logik ilmu sains yang dipelajarinya itulah yang diguna pakai untuk menilai, mengkritik dan menghuraikan konsep Imam Mahdi itu, tanpa menyedari pendapat mereka itu tidak sesuai dengan kaedah penilaian, kritikan dan huraian yang sebenar menurut Islam. Memang menurut kaedah sains, Imam Mahdi adalah sesuatu yang tidak logik.
  6. Mempunyai sikap merendah-rendahkan golongan ulama terdahulu yang sudah berjasa besar. Antara ulama besar yang sering dijadikan sasaran adalah seperti Imam Ibnu Hajar, Imam as-Suyuti dan Imam Mahyuddin Ibnu Arabi. Mereka ini sering dijadikan mangsa karena mereka inilah yang menyatakan secara berani dan tegas pendapat mereka terhadap konsep Imam Mahdi. Banyaklah komen dan kritikan hebat ditujukan khusus kepada mereka ini, seolah-olah si pengkritik itu adalah lebih bijak, pandai dan takwa daripada yang dikritik. Seolah-olah si pengkritik itulah yang lebih bijaksana dan lebih dalam ilmunya.
  7. Memandang rendah agama sendiri. Mereka ini memang datang dari golongan yang mendapat pendidikan sekular, berfikiran sekular dan hidup secara sistem sekular yang dipelajarinya itu. Kesannya, mereka sentiasa memandang rendah setiap apa yang disebutkan oleh para ulama terdahulu berhubung soal-soal agama, termasuklah soal Imam Mahdi ini. Mereka malu dengan agama sendiri dan menganggap agama Islam sebagai agama low-class. Tamadun Barat dipandang lebih tinggi daripada agama Islam.
  8. Menolak berlakunya karamah kepada para wali. Dalam hadis dan riwayat mengenai Imam Mahdi, perkara keramat kepada Imam Mahdi itu adalah suatu yang lumrah, dan sekali imbas seolah-olah melebihi apa yang pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Karena itulah ramai ulama modern hari ini mempertikai kesahihan hadis-hadis tersebut karena tidak bersesuaian dengan hukum syarak dan logik akal mereka. Bolehkah Imam Mahdi itu mendapat suatu keramat yang kehebatan keramat itu tidak pernah diterima oleh sesiapa pun termasuk Rasulullah SAW sendiri? Demikian antara soalan yang sering dijadikan alasan. Seterusnya, hadis-hadis sedemikian ditongsampahkan sahaja oleh mereka, dan periwayatannya dianggap sebagai suatu cerita dongeng semata-mata.
  9. Mahukan umat Islam membina kemajuan sendiri yang setanding dengan kemajuan dunia Barat. Jika umat Islam asyik dengan Imam Mahdi sahaja, sampai bila-bila pun mereka tidak akan maju dan akhirnya akan menjadi  pengikut kepada kemajuan yang dicipta oleh Barat. Maka mereka harus melupakan Imam Mahdi dan bangun serentak membina kekuatan dan kemajuan sendiri, yang setanding atau lebih maju dari apa yang sedang dikecapi oleh Barat hari ini, katanya.
  10. Mahukan agama dan umat Islam dibersihkan dari sebarang noda dan kekotoran syirik. Mereka mendakwa umat Islam telah secara sedar atau tidak sedar, tercemar akidahnya disebabkan mempercayai Imam Mahdi yang akan muncul suatu hari nanti. Mereka berasa amat sedih atas apa yang berlaku ini dan menentang sekeras-kerasnya kerana mahu umat Islam bersih semula akidahnya dari sebarang syirik Imam Mahdi itu dan mempercayai konsep Imam Mahdi secara ala kadar sahaja, tak usah lebih-lebih. Menurut mereka, tidak akan ada keramat Imam Mahdi yang zahirnya mampu melebihi dari apa yang pernah diterima oleh Nabi Muhammad SAW sendiri.
  11. Sengaja mahu mencari nama dengan menimbulkan isu-isu sensasi. Golongan sebegini tidak ramai tetapi amat berkesan dalam usahanya mempengaruhi kumpulan umat yang lemah iman dan cetek ilmunya. Biasanya usaha mereka ini dapat dihidu dengan cepat dan dibendung lebih awal. Jika tidak dibendung pun, pasti akan musnah bersama-sama musnahnya si pembawa cerita itu. Lazimnya mereka membawa isu-isu yang berbentuk negatif dan memburuk-burukkan Islam melaluinya.
  12. Terpengaruh dengan kaedah Zionis yang berjaya menghapuskan kepercayaan munculnya Messiah daripada khayalan hati sanubari bangsa Yahudi, yang akan menyelamatkan dunia ini, dan mereka kembali semula ke dunia nyata, berusaha membina kekuatan sendiri tanpa perlu mengharap kedatangan sang Messiah itu untuk menyelamatkan mereka. Maka mereka cuba menuruti kaedah yang telah terbukti berjaya dilakukan oleh puak sekular Zionis itu, dengan harapan umat Islam tidak lagi hanyut dalam cereka dongeng Imam Mahdi mereka dan kembali semula ke alam nyata. Maksud mereka ialah umat Islam perlu bekerja keras untuk hidup dan maju di dunia ini tanpa memerlukan bantuan daripada Imam Mahdi yang entah bila akan munculnya itu. Demikian anggapan mereka.
Antara yang menolak kemunculan Imam Mahdi secara yang sederhana, bermula daripada Ibnu Khaldun yang menyatakan bahwa hadis-hadis berkenaan Imam Mahdi itu dhaif belaka, hanya sedikit-sedikit yang sahih. Beliau telah mengkaji sebanyak tiga puluh buah hadis mengenai Imam Mahdi dari pelbagai sudut. Kemudian beliau merumuskan pendapatnya itu dengan menyatakan bahwa Imam Mahdi tidak akan keluar pada akhir zaman. Hadis-hadis mengenai Imam Mahdi tidak sepatutnya diterima oleh seluruh umat Islam, begitulah fahamnya.
Syeikh Mahmud Syaltut, salah seorang Syeikh Al-Azhar, Mesir pernah menyatakan bahwa Nabi Isa AS sudah wafat dan tidak akan turun lagi ke dunia. Beliau adalah anak murid kepada Syeikh Muhammad Abduh, dan fahamannya adalah lanjutan dari fahaman gurunya yang menolak konsep Imam Mahdi dan Nabi Isa AS. Di dalam kitabnya Fatawa, beliau menyangkal kepercayaan tentang turunnya Nabi Isa AS sebagai tanda-tanda besar kiamat. Fahamnya, apabila Nabi Isa AS tidak ada dan tidak turun ke dunia ini, maka Imam Mahdi pun tidak ada juga kerana kedua-dua tokoh ini adalah saling berkait, seperti saling berkaitnya jerami-jerami yang membentuk sehelai tikar. Tidak akan sempurna yang satunya tanpa adanya yang satu lagi.
Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid menyebutkan bahwa, sesetengah penulis (ulama) yang membahaskan segala perkara yang datang dalam soal Al-Mahdi dan Dajjal itu, sebenarnya adalah suatu perkara dongeng yang berasal daripada kisah-kisah Israiliyat. Oleh itu, semua cerita tentang Imam Mahdi hendaklah ditolak bulat-bulat oleh sekalian umat Islam.
Begitu juga Dr. Khalil Haras yang mentashihkan kitab Khasa’is Imam as-Suyuti RH, menyebutkan bahwa semua hadis berkenaan Al-Mahdi itu, tidak ada walau sebuah pun daripadanya yang sah, dengan kepercayaan Syiah tertera jelas padanya. Oleh karena akidah Syiah jelas bercanggah dengan akidah Ahlus Sunnah, menurut beliau, konsep Imam Mahdi ini haruslah ditolak keseluruhannya, sama seperti kita menolak akidah Syiah keseluruhannya.
Syeikh Muhammad Abduh juga dilaporkan pernah menyebutkan bahwa Imam Mahdi itu tidak ada, sambil menolak kemunculannya pada akhir zaman. Dajjal itu tidak ada dan Nabi Isa AS sudah wafat, tidak akan turun lagi ke dunia ini karena orang yang sudah wafat tidak akan hidup lagi ke dunia ini. Kewafatan Nabi Isa AS sudah dijelaskan oleh al-Quran sendiri, seperti yang terdapat di dalam Surah Ali Imran, ayat 55, katanya.
Anak muridnya, Syeikh Muhammad Rasyid Ridha al-Qalmuni menulis di dalam majalah Al-Manar bahwa, Syeikh Muhammad Abduh ketika ditanya mengenai Dajjal dan Nabi Isa AS, menjelaskan yang Dajjal itu adalah andaian atau bayangan karut dan bohong. Rasyid Ridha juga menyatakan pendapatnya sendiri bahwa,
Tiada nas yang sahih dan tegas tentang turunnya Nabi Isa dari langit. Hal itu hanyalah akidah kepercayaan kebanyakan orang Kristian, dan mereka telah mencuba sepanjang zaman sejak kelahiran Islam lagi untuk menyebarkan akidah itu di kalangan umat Islam.
Dalam kesempatan yang lain, Syeikh Rasyid Ridha menyatakan pula pendiriannya sendiri bahwa kepercayaan terhadap kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman adalah kepercayaan yang berbahaya. Unsur-unsur dongeng adalah jelas sekali di dalamnya. Katanya;
Sekalipun al-Mahdi memang akan muncul, sikap kami tidak mempercayainya tentu tidak menjejaskan iman, sekalipun jika al-Mahdi itu benar-benar mempunyai kuasa luar biasa seperti yang didakwakan.
Syeikh Abdul Mut’al as-Sha’iedi dalam Al-Mujaddidun Fil Islam, menyebutkan bahwa, telah tersebar pada orang-orang Islam pendapat mengenai Imam Mahdi al-Muntazar. Mereka mempunyai hadis-hadis daripada Rasulullah SAW, sedangkan Ibnu Khaldun telah menyatakan dengan lebih lanjut bahwa hadis-hadis itu sanad-sanadnya dhaif, tetapi hadis-hadis itu telah sedia masyhur di kalangan orang Islam.
Abul A’ala al-Maududi al-Hindi diketahui mempunyai dua pendapat berbeza mengenai Imam Mahdi. Pendapat kedua beliau ialah menolak konsep Imam Mahdi dengan menyatakan bahwa;
Tidaklah boleh ditafsirkan bahwa dalam Islam ada suatu jawatan yang dinamakan al-Mahdi, hingga umat Islam wajib meyakininya. Jika tidak, akan terjadi hal-hal yang merusakkan akidah dan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.
Apa yang sesuai disebutkan berhubung dengan perkara ini ialah bahwa kepercayaan terhadap al-Mahdi bukan sebagian daripada akidah Islam. Tidak ada sebuah pun kitab karangan ulama Ahlus Sunnah menyebutnya (bahwa konsep al-Mahdi adalah soal akidah).
Antara penulis yang bersikap melampau dalam pendapat dan penulisan mereka mengenai Imam Mahdi adalah seperti Syeikh Muhammad Fahim Abu ‘Ubaih dalam kitabnya Naskhatul Asli Bidayah Wan Nihayah, Al-Hafiz Ibnu Kasir, pada bagian Al-Fitan Wal Malahim menyebutkan bahwa,
Kita berjalan mengikut pihak yang mengatakan bahwa keluar Al-Mahdi dan turunnya Nabi Isa AS, kedua-duanya adalah bayangan bagi kemenangan, kebaikan di atas kejahatan dan Dajjal itu bayangan bagi melampaunya fitnah dan banyak sesat pada sesuatu masa, kemudian akan hapus dengan datangnya kebenaran daripada Allah. Adapun binatang (Dabbatul Ardhi) yang disebutkan oleh Al-Quran bukanlah seperti yang disifatkan oleh riwayat-riwayat hadis yang pelik dan menghairankan. Hanya ia suatu jenis binatang yang melata di atas bumi, membinasakan manusia dan harta benda mereka, ketika manusia itu sedang bermaharaja lela dengan kecelaan. Sebagian dari binatang itu adalah ham-ham yang membawa kebinasaan dan mengancam harta benda…

Dia menafikan hadis-hadis yang menyatakan bahwa Sayidina Umar RA hendak membunuh Dajjal dari jenis manusia itu dan menafikan erti Dajjal yang Rasulullah SAW perintahkan kita, supaya berlindung daripadanya di dalam setiap tahiyat akhir sebelum salam.
Begitu pula seorang penulis buku-buku sejarah dan peguam sivil di Kaherah, Muhammad Abdullah Annan (atau ejaan Inggerisnya M. A. Enan), menyebutkan bahwa dongeng Al-Mahdi itu bukannya buatan orang-orang Syiah, walaupun mereka turut menggunakannya. Dongeng semacam ini sudah pun ada dan bermula sejak zaman Nabi SAW lagi. Ada beberapa buah hadis yang bermacam-macam jenis, yang menunjukkan dongengnya Al-Mahdi itu, sedangkan hadis-hadis itu disyaki dan banyak dipertikaikan orang. Ada perkataan-perkataan yang dikatakan datang dari satu kumpulan sahabat utama (asar)… seperti juga halnya Al-Mahdi, ada pula Al-Masihul Muntazir, yang ia berasal dari Yahudi dan di dalam Islam ia mempunyai tempat juga, bercampur aduk dengan kisah Al-Mahdi. Dikatakan orang bahwa Al-Masihul Muntazir akan datang selepas datangnya Al-Mahdi atau dia datang bersama-samanya dan dia berimam dengannya.

Di dalam bukunya yang bertajuk Detik-detik Menentukan dalam Sejarah Islam, beliau yang menganggap kepercayaan terhadap Imam Mahdi itu sebagai dongeng yang dipercayai oleh umat Islam. Beliau bersikap amat sinis terhadap tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang percaya kepada konsep Imam Mahdi, terutamanya al-Kindi dengan menyatakan,
“Suatu keterangan yang ganjil daripada seorang tokoh filsuf yang berfikiran liberal.”
Di sini, Muhammad Abdullah Anan telah melakukan banyak kesalahan, dari yang besar hinggalah kepada yang kecil. Yang besarnya ialah dia menuduh Nabi kita SAW membiarkan berlakunya dongeng Al-Mahdi pada zaman baginda itu, dan menuduh para sahabat yang utama menyebarkan dongeng Al-Mahdi. Kemudian dia mengecam pula secara borong para ulama yang percaya kepada kemunculan Imam Mahdi. Kalau ikutkan mazhab Maliki, Muhammad Abdullah Anan itu hendaklah dihukum pancung karena menuduh Rasulullah SAW cuai semasa menyampaikan ajaran Islam sehingga ada cerita-cerita dongeng yang dibiarkan begitu sahaja tanpa baginda tegah.

Yang kecilnya, beliau begitu prihatin terhadap cendekiawan lain yang percaya kepada kemunculan Imam Mahdi, lalu disindirnya habis-habisan seolah-olah kepercayaan sebegitu adalah suatu kesalahan yang besar dan tidak akan diampunkan oleh Tuhan. Atau mungkin beliau mempercayai ketokohan dan kecendekiawanan al-Kindi itu telah tercemar teruk akibat beliau percaya kepada kemunculan Imam Mahdi. Karena itu, beliau pun berusaha menunjukkan kepada seluruh orang Mesir bahwa al-Kindi telah tersilap percaya dalam kes ini. Atau dia sendiri merasakan dirinya sudah cukup cerdik cendekia sehingga setaraf dengan al-Kindi, sebab itulah dia boleh membangkang apa sahaja yang dirasakannya tidak kena dengan pemikiran al-Kindi itu.

Sebagai seorang peguam yang terkenal, beliau sepatutnya tidak ikut campur tangan dalam perkara yang bukan menjadi bidang tugasnya. Beliau adalah seorang sarjana yang datang dari lulusan undang-undang sivil, bukannya dari kalangan yang berpendidikan agama yang tinggi, dan beliau pun tidak pernah begitu mendalami perkara yang cuba diterokanya itu. Hanya dengan mendengar-dengar sahaja beberapa aspek mengenai Imam Mahdi, beliau terus sahaja membuat kesimpulan, tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang lebih berwibawa. Maka jadilah beliau seperti tikus yang cuba membaiki labu.

Syeikh Abdullah bin Zeid, Yang Dipertua Mahkamah Syariah dan Hal Ehwal Agama Qatar, pernah menulis di dalam kitabnya Majmu’ ar-Rasail yang (terjemahannya) berbunyi kira-kira begini,
Para penyokong konsep al-Mahdi mendakwa bahwa al-Mahdi akan membawa keamanan dan keadilan di dunia dalam tempoh tujuh atau sembilan tahun. Apakah ini berarti bahwa al-Mahdi akan dibantu oleh kuasa luar biasa atau mukjizat?

Apakah al-Mahdi akan mendapat bantuan daripada malaikat atau dari para jin, seperti pertolongan yang didapati oleh Nabi Daud AS?

Apakah al-Mahdi itu lebih mulia dan lebih agung daripada Nabi Muhammad SAW yang selama 23 tahun berjuang menegakkan agama Allah dengan bantuan mukjizat al-Quran dan mendapat kecederaan di kepalanya sedangkan kejayaannya terbatas di jazirah Arab sahaja?

Secara jujur saya katakan bahwa saya adalah salah seorang dari keturunan Rasulullah SAW dari Hasan bin Ali. Andainya pada hari ini ada seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah, berdahi luas, berhidung mancung, tinggi, (lalu) mengaku sebagai al-Mahdi, sayalah orang yang pertama menentangnya karena saya yakin dia adalah pendusta yang ingin mencemar kesucian agama Islam.
Selain golongan yang menolak terus kedatangan Imam Mahdi ke dunia ini, ada pula segolongan lain yang menyatakan bahwa hakikat Mahdi yang dimaksudkan itu tidak berbentuk manusia. Mahdi itu mungkin hanya berbentuk hasil perjuangan seluruh umat Islam. Syeikh Muhammad Ali az-Za’bi, seorang ulama dari Lubnan menyatakan (terjemahannya) kira-kira begini:
Walaupun pendapat mengenai al-Mahdi itu berbagai-bagai, masing-masing pihak bersetuju mengatakan bahwa ia adalah satu bentuk bantuan yang akan datang agar para pejuang Islam yang lemah tidak putus asa… Tidak penting bagi kita sama ada bantuan itu berupa seorang manusia atau berupa hasil perjuangan kita, karena kita telah bersepakat bahwa kedatangannya sebagai pelaksana ajaran-ajaran Allah. Adalah menjadi kewajipan kita berusaha melaksanakannya agar kita dapat menikmati kedatangan al-Mahdi itu walaupun ia mungkin datang dalam bentuk bukan manusia…

Di negara kita sendiri, ramai cendekiawan Islam hari ini yang menunjukkan penentangan secara terang-terangan terhadap konsep Imam Mahdi. Salah seorang yang kuat menentang konsep Imam Mahdi ini adalah Prof. Madya Dr. Abdulfattah Haron Ibrahim dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau telah merumuskan bahwa amalan tarekat sebenarnya tidak ada dalam Islam, samalah seperti konsep Imam Mahdi yang juga tidak wujud dalam akidah Islam. Pendapatnya ini dibentangkan oleh beliau dalam kertas kerjanya di Simposium Falsafah Islam, pada bulan Disember 1988.
Beliau turut menolak semua andaian di dalam buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam yang ditulis oleh Ustaz Haji Ashaari Muhammad mengenai pengasas Aurad Muhammadiah atau tarekat Muhammadiah. Beliau turut memetik pendapat Ibnu Khaldun dan secara tegas menyatakan bahwa konsep Imam Mahdi adalah datang dari pengaruh Syiah dan falsafah Neoplatonisme. Secara umumnya, daripada penolakan kedua-dua masalah berkenaan, beliau sebenarnya telah menolak konsep Imam Mahdi dan tarekat sekali gus.
Di sini, beliau kelihatan lebih dipengaruhi oleh pendapat Ibnu Khaldun dan Wahabi yang mengikut pendapat Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah, seperti diketahui, menolak sama sekali konsep tarekat dalam Islam dan menolak juga konsep Imam Mahdi. Sayangnya, pendapat profesor madya ini amat berat sebelah. Beliau hanya memasukkan pendapat orang yang menentang konsep Imam Mahdi, tanpa menyentuh langsung pendapat ulama-ulama muktabar yang yakin dengan konsep Imam Mahdi ini.
Selain beliau, ramai lagi cendekiawan Islam yang menolak konsep Imam Mahdi ini. Hanyalah nama mereka adalah nama-nama kecil, maka pendapat dan nama mereka kuranglah terserlah. Jika dikenali pun, hanyalah di dalam kelompok yang lebih kecil dan tidak menonjol sangat. Oleh itu, pendapat mereka dianggap hanya menumpang pada pendapat tokoh-tokoh cendekiawan lain yang lebih terkenal. Berbeza dengan ulama pondok, kebanyakan mereka percaya kepada konsep Imam Mahdi, dan mereka juga lazimnya berpendapat bahwa masalah ini adalah perkara yang diikhtilafkan oleh para ulama Islam sejak dahulu.

Demikianlah beberapa nama yang sudah tercatat di dalam sejarah umat Islam sebagai golongan yang sudah berlebih-lebihan dalam penentangan mereka terhadap kemunculan Imam Mahdi, Nabi Isa AS dan Dajjal. Sikap seperti ini amat tidak digalakkan oleh Islam, kerana aspek ilmu yang sebenar-benarnya dan tujuan mendapatkan kebenaran hendaklah diletakkan di hadapan sekali, melebihi daripada sebarang kepentingan peribadi.
Sikap seperti ini hanya akan membawa lebih banyak perpecahan di kalangan umat Islam, memanjangkan pertelingkahan, menambahkan lagi retak persaudaraan yang telah pun sedia retak, dan amat menggembirakan hati musuh Islam yang sebenarnya bertempik sorak kegembiraan di belakang kita, tanpa kita sedari. Sikap yang penuh emosi seperti ini hendaklah dielakkan sungguh-sungguh daripada diri kita semua.

Apa dan siapa yang mereka tentang sebenarnya? Kenapa mereka menentangnya? Ada beberapa  golongan yang mereka tentang dan ada beberapa sebab mereka menentang masalah Imam Mahdi ini. Antara golongan yang mereka tentang itu adalah hadis-hadis Rasulullah SAW itu sendiri. Mereka menentangnya karena beranggapan hadis-hadis itu dhaif dan patut ditentang sepenuhnya. Jangan percaya walau kepada sebuah hadis pun. Begitulah kehendak hati mereka sebenarnya.

Jika seseorang itu mengingkari kemunculan Imam Mahdi semata-mata dengan alasan bahwa hadis-hadisnya dhaif, maka hal itu bolehlah kita berlapang dada dan menganggapnya sebagai tidak apa-apa. Tetapi jika penolakannya itu dibuat dengan pengingkaran secara mutlak dan dikaitkan pula dengan hal-hal lain yang sebenarnya lebih berupa zanni, ditolak secara melampau-lampau, semata-mata dengan menggunakan logik akal mentahnya dan malah kadang-kadang alasannya tidak logik, maka penolakan itu hendaklah ditentang.

Tidak sepatutnya penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu perkara itu dilakukan secara terburu-buru, terlalu mengikut nafsu, dengan penuh emosi terhadap pihak yang satu lagi, menghina dan merendah-rendahkan pendapat pihak yang tidak sependapat dengannya dan terlalu membesar-besarkannya sehingga menjadi berlebih-lebihan pula, maka semuanya itu adalah tidak selari dengan semangat dan roh yang dikehendaki oleh Islam. Sepatutnya kita bersikap sederhana dan meraikan pendapat pihak lain, karena itulah ilmu yang ada pada mereka dan itu jugalah keyakinan mereka.

Golongan kedua yang mereka tentang adalah umat Islam sendiri, yaitu yang percaya kepada kemunculan Imam Mahdi itu. Umat Islam yang percaya ini ditentang karena kononnya mereka terlalu mudah percaya kepada sesuatu perkhabaran, sedangkan mereka tidak mempunyai ilmu yang mendalam dan tidak mendapat bukti yang benar-benar kukuh


Golongan ketiga yang mereka tentang adalah dari kalangan ahli tasawuf atau ahli sufi yang begitu yakin dengan konsep Imam Mahdi dan membawa pula beberapa cerita yang langsung tidak masuk dek akal. Sudahlah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi itu dhaif, mereka ini bawakan pula cerita-cerita yang lebih berbentuk fantasi. Akhirnya umat Islam terus diselimut oleh khayalan-khayalan yang menyebabkan mereka terus mundur berbanding umat Barat.


Timbul satu lagi pertanyaan baru. Jika semua hadis mengenai Imam Mahdi dan Nabi Isa AS ditolak oleh ulama gerakan tajdid seperti Muhammad Abduh, Rasyid Ridha dan al-Maududi, apakah ini bererti bahwa mereka juga menolak semua hadis yang menyebutkan alamat-alamat besar kiamat? Sebagian besar dari alamat kecil kiamat sudahpun berlaku, malah ramai percaya bahwa semua alamat kecil kiamat seperti yang disabdakan oleh baginda SAW itu sudahpun benar-benar berlaku. Yang belum berlaku lagi hanyalah tanda-tanda besarnya sahaja.

Jika semua hadis mengenai Imam Mahdi dan Nabi Isa AS ditolak, maka tanda-tanda lain juga banyak yang harus ditolak sama seperti Dajjal, Yakjuj dan Makjuj, terbit matahari dari sebelah barat, datang api, dimatikan semua orang Islam oleh angin sejuk dan dikumpulkan manusia di Syam. Dan berdasarkan bukti-bukti pembacaan yang pernah diterima, memang mereka secara halusnya menolak kemunculan tanda-tanda besar di atas kerana tidak ada disebutkan di dalam al-Quran. 

No comments: