Followers

nuffnang

Saturday, 4 December 2010

IM 10:: Hukum Mengingkari Imam Mahdi

[sambungan]


Ingkarkan Imam Mahdi di sini ada dua bentuk yang utama. Yang pertama ialah ingkarkan hadis-hadis yang bersangkut dengan Imam Mahdi dan yang kedua ialah ingkarkan kedatangan seseorang yang dipanggil sebagai Imam Mahdi ke dunia ini. Ada orang yang ingkarkan salah satu daripadanya dan ada pula yang ingkarkan kedua-duanya sekali. Huraian bagi hal ini sudah pun dibentangkan dalam bab terdahulu.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya Al-Qaulul Muhtasar Fi Alamatil Mahdiyul Muntazar ada meriwayatkan sebuah hadis yang diambilnya daripada riwayat Abu Bakar al-Iskafi dalam kitabnya Fawa’idul Akhbar, yang terjemahannya berbunyi kira-kira begini;

Sabda Rasulullah SAW,
Sesiapa yang mendustakan kedatangan Dajjal, maka kafirlah dia, dan sesiapa yang mendustakan kedatangan al-Mahdi, maka kafirlah dia.”       (Abu Bakar al-Iskafi)

Hadis ini tidak pula menghukumkan secara qat’ie orang yang menolak kemunculan Imam Mahdi. Dapat difahamkan di sini bahwa kafir yang disebutkan dalam hadis itu berarti ingkar, yakni ingkar kepada hadis-hadis yang menyebutkan kedatangan Imam Mahdi itu, bukan kafir secara mutlak. Kafir secara mutlak hanya boleh dihukumkan kepada seseorang atas penolakannya pada perkara yang jelas hukumnya dalam Islam, bukan pada perkara furuk seperti Imam Mahdi ini. Jadi, hukum daripada hadis ini tidak salah, yang salah ialah kefahaman kita sahaja karena tidak faham maksud sebenar hadis itu. Kefahaman kita sebenarnya yang dangkal, bukan matan hadis itu yang syaz.

Maka tidak patutlah kita lekas-lekas menghukum orang yang tidak mempercayai kemunculan Imam Mahdi sebagai kafir dan keluar dari Islam, hanya semata-mata berdasarkan hukum zahir daripada hadis yang diberikan di atas. Juga, jika tidak percaya akan kemunculan Imam Mahdi, tidak patut pula kita lekas-lekas menolak terus hadis di atas dengan menyatakannya sebagai dhaif atau berkemungkinan bertaraf mauduk. Jangan pula kita katakan hadis itu sengaja dibuat-buat atau direka-reka karena ‘dilihat’ menyalahi kaedah umum usul fiqh.

Menurut Ibnu Khaldun pula, hadis tersebut dikatakan palsu karena dikatakan periwayat hadisnya adalah seorang pemalsu hadis. Karena alasan yang satu itu, beliau menolak terus konsep Imam Mahdi.

Dalam kitab Al-Mahdiyul Muntazar, yang dikarang oleh Grand Muhaddis Abil Fadhal Syeikh Abdullah bin Sadek, Ph.D., disebutkan (terjemahannya) kira-kira begini;

Adalah dusta sesiapa yang mendakwa dirinya Imam Mahdi, berdosa sesiapa yang mengaku dan membenarkannya, sedang dia itu sunyi daripada sifat-sifat dan ternafi daripada alamat-alamat.

Ertinya orang yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi sedangkan dia tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh hadis-hadis bolehlah dihukumkan berdosa karena dia itu berdusta. Dia juga telah melanggar hadis-hadis Nabi SAW, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Hanya itu sahaja hukum yang dapat ‘dijatuhkan’ kepada orang yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi. Tidak lebih dan tidak kurang.

No comments: