Timbul pula satu persoalan baru. Apakah benar, mempercayai munculnya Imam Mahdi serta menentukan seseorang itu sebagai bakal Imam Mahdi termasuk dalam soal akidah dan boleh merusakkan akidah?
Maksudnya, adakah akan benar-benar rusak akidah seseorang jika dia mempercayai dan menetapkan seseorang sebagai bakal Imam Mahdi? Apakah rusak juga akidah seseorang jika dia tidak mempercayai dan tidak menetapkan seseorang itu sebagai bakal Imam Mahdi?
Sebenarnya, persoalan mempercayai kemunculan Imam Mahdi telah menimbulkan polemik yang sangat ketara, berkepanjangan dan tidak mempunyai hujungnya. Di kalangan ulama Ahlus Sunnah sendiri, ada yang mempercayai kemunculan Imam Mahdi, ada yang menolak terus dan ada pula yang mengambil jalan tengah (tawaquf) dan ada pula yang tidak mempedulikan langsung soal ini.
Ada pula sebilangan ulama yang berselisih dalam menetapkan siapakah Imam Mahdi itu sendiri. Maknanya, mereka telah pun menetapkan pribadi Imam Mahdi itu sendiri yang dinyatakan secara jelas dan berani. Dan mereka yang menetapkan hal ini bukanlah pula calang-calang ulama!
Di kalangan ulama Syiah pula, ada yang secara terus-terang menetapkan kepribadian Imam Mahdi itu. Adalah suatu kenyataan bahwa mempercayai Imam Mahdi adalah salah satu daripada rukun iman bagi mereka. Sungguh pun begitu, mereka juga berselisih pendapat dalam menentukan siapa dia Imam Mahdi itu. Ada yang menyatakan Imam Mahdi itu:
1.Adalah Imam Muhammad Al-Baqir, Imam Kelima mereka,
2.Ada yang mengatakan Imam Mahdi itu adalah Imam Ismail bin Jaafar Sadiq (bagi firqah Ismailiyah),
3.Bagi firqah Kaisaniyah pula, mereka meyakini Muhammad bin Ali al-Hanafiyah adalah Imam Mahdi,
4.Dan bagi firqah Imamiah Isna Asyariyah pula, mereka menyatakan Imam Mahdi itu adalah Imam Muhammad bin Al-Hasan Al-Askari.
Malah ada di kalangan mereka yang ghulat, menganggap bahwa Sayidina Ali bin Abi Talib KMW itu sendiri yang akan menjadi Imam Mahdi! Namun begitu, pendapat yang menyatakan bahwa Muhammad bin Hasan Al-Askari sebagai Imam Mahdi adalah pendapat yang dianggap majoriti dan mewakili seluruh pendapat pengikut Syiah, terutama pada hari ini.
Ringkasnya, perselisihan pendapat di kalangan semua mazhab dalam Islam ini hanya menjelaskan satu perkara utama yaitu, umat Islam bebas menentukan kepercayaannya terhadap persoalan Imam Mahdi dan Islam membenarkan umatnya menetapkan sendiri kepercayaannya terhadap masalah Imam Mahdi ini. Ajaran Islam sendiri amat luwes dalam soal ini.
Dan bagi yang berfikiran neutral, banyaknya polemik dan pendapat mengenai kemunculan Imam Mahdi, itu adalah tanda bahwa masalah ini adalah masalah khilafiah, yaitu jika ditolak atau diterima, sama ada dengan ilmu atau dengan tidak ada ilmu, tetap tidak menjejaskan akidah kita, iman kita dan agama kita. Jika tidak, pastilah sudah dihukumkan kafir kepada mana-mana satu pihak yang menolak atau menerima itu.
Selagi Imam Mahdi itu tidak muncul, selagi itulah kita boleh saja menerima atau menolak, atau malah bersikap tengah-tengah. Dengan ini, amatlah diharapkan agar persoalan ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya karena itulah yang dikehendaki oleh Islam. Kita patutnya bersikap berlapang dada mengenai masalah ini. Bertenang dan jangan bergopoh-gapah menghukum orang lain yang tidak sehaluan dengan kita sebagai orang yang rusak akidahnya atau tidak sempurna Islamnya.
Jika kita di pihak yang mempercayai kemunculan Imam Mahdi, jangan pula terburu-buru menghukum kafir terhadap orang yang tidak mempercayai kemunculan Imam Mahdi itu. Malah tidak patut pula kita beranggapan bahwa orang itu sudah tidak sempurna Islamnya. Terimalah perbedaan pendapat ini dengan dada terbuka.
Begitu pula jika kita berada di pihak yang menolak kemunculan Imam Mahdi, jangan pula lekas-lekas menghukumkan orang yang telah menetapkan siapa Imam Mahdi itu sebagai orang yang menyeleweng, rusak akidahnya, pembawa bidaah dan telah jatuh kafir. Ingatlah bahwa sesiapa yang menetapkan sesuatu persoalan furuk, selama-lamanya tidak akan menjatuhkan orang itu ke dalam kekufuran dan tidak akan sampai terseleweng akidahnya. Dalam Usul Fiqh, perkara ini sudah dijelaskan seterang-terangnya oleh Imam as-Syafie sejak awal Islam lagi dan telah juga diketahui umum, terutamanya yang mengaku dirinya pakar fiqh atau ulama syariat.
Namun begitu, sejarah tetap menjadi sejarah. Ada pula umat Islam sendiri yang sanggup mengkafirkan orang lain, membidaahkan mereka, menyesatkan mereka, mengkhurafatkan mereka, malah ada tuduhan yang menyatakan sudah menyeleweng dari ajaran Islam, hanya semata-mata karena mereka mempercayai kemunculan Imam Mahdi. Kenapa boleh sampai begitu sekali keadaannya, kita pun kurang pasti. Mungkin ada niat lain yang coba ditutup dengan menggunakan alasan furuk khilafiah ini.
Di negara kita ini sendiri, Malaysia, telah ada tuduhan sesat, bidaah, menyeleweng, khurafat dan sebagainya dituduhkan kepada orang yang mempercayai kemunculan Imam Mahdi dan menetapkan orangnya. Antaranya, akhbar Utusan Malaysia pada hari Selasa hingga Khamis, 18 - 20 Oktober 1988, telah menyiarkan rencana secara bersiri yang ditulis oleh Astora Jb bahwa sesiapa yang mempercayai kemunculan Imam Mahdi adalah kesan daripada pengaruh khurafat orang-orang Yahudi.
Kononnya pendapat ini adalah daripada hasil kajian terbaru ulama dan sarjana Mesir. Tidak pula disebutkan judul buku atau tesis kajian tersebut, nama orang-orang yang terlibat dalam kajian tersebut dan dari universiti mana mereka yang membuat kajian itu. Tajuk rencananya itu ialah Tidak Ada Imam Mahdi yang akan Muncul. Sayangnya, beliau hanya memasukkan pendapat sebelah pihak sahaja yaitu pihak yang menolak, tanpa mengambil langsung pendapat ulama yang menerima.
Menurutnya, kepercayaan kepada Imam Mahdi adalah berasal daripada kepercayaan Syiah, dan kepercayaan puak Syiah itu pula disemai oleh Abdullah bin Sabak, seorang Yahudi yang memeluk Islam dengan tujuan mau menghancurkan Islam dari dalam. Beliau memetik beberapa nama sebagai sokongan hujahnya bahwa konsep al-Mahdi ditolak oleh ramai ulama, terutama oleh ulama modern dan terpelajar yang antaranya adalah Ibnu Khaldun, Dr Abdul Mun’im an-Namer, Syeikh Abdullah bin Zaid, Abul A’ala al-Maududi dan lain-lain.
Konsep Mahdi terdapat juga di dalam agama lain, katanya lagi. Antara lain, orang-orang Yahudi menyebutnya sebagai Messiah, manakala pengikut Kristian menyebutnya Masih. Demikian antara tulisan Astora Jb itu.
Ekoran dari rencana yang disiarkan itu, keesokannya, hari Jumaat, 21 Oktober 1988, khutbah Jumaat di Masjid Negara yang disampaikan oleh bekas Mufti Sabah, Haji Said bin Haji Ibrahim, telah secara khusus menjawab tulisan rencana berkenaan yang menyatakan secara tegas pula bahwa persoalan Imam Mahdi adalah sebagian daripada akidah Islam, telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama, tidak boleh dipertikaikan lagi, dan bukannya berasal daripada dongeng Yahudi dan tidak juga meniru konsep Syiah.
Perbedaan pendapat yang amat ketara oleh kedua-dua pihak ini menyebabkan orang ramai menjadi goncang dan bertambah keliru. Mana satu pendapat yang betul dan dapat diterima? Siapa di antara mereka ini yang patut diikut oleh semua orang? Siapa yang lebih pakar dalam hal ini? Apakah ada pendapat lain yang boleh diterima pakai oleh kita? Bagaimana sikap ulama-ulama lain yang lebih berwibawa dalam hal ini? Bagaimana pula jika kedua-dua pendapat ini tidak diikut oleh orang ramai?
Begitu juga yang berlaku kepada Ustaz Haji Ashaari bin Muhammad, pemimpin jemaah Al-Arqam suatu ketika dahulu. Beliau telah dituduh dengan pelbagai tuduhan yang berat-berat seperti; kafir, sesat, menyeleweng, bidaah, khurafat dan malah syirik, oleh Pusat Islam, para pemimpin utama negara dan Mufti-mufti seluruh Malaysia, sambil diapi-apikan oleh media-media utama negara, karena beliau mengakui dan mempertahankan pendapatnya bahwa Saiyidi Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi adalah bakal Imam Mahdi, sehingga akhirnya menyebabkan beliau ditahan di bawah ISA, dan jemaah pimpinannya, beliau terpaksa bubarkan. Semuanya berlaku pada tahun 1993 - 1994. Peristiwa ini bolehlah dianggap sebagai peristiwa terbesar, terpanjang dan terhitam dalam sejarah pertelagahan pendapat mengenai Imam Mahdi di negara ini.
Sebenarnya, sesiapa yang telah sampai kepadanya perkabaran yang yakin, ilmu yang benar, cukup segala syarat untuk berijtihad dan menepati apa yang telah digariskan oleh hadis-hadis, asar-asar sahabat RA dan ucapan para tabiin, serta kasyaf para ulama muktabar, maka bolehlah dia menetapkan seseorang itu sebagai Imam Mahdi. Pendapatnya itu boleh digunakan untuk dirinya sendiri dan boleh pula diberitakan kepada orang lain yang mau percaya dan yakin dengan perkabarannya.
Tidak patut ada unsur-unsur paksaan di sini. Tidak boleh pihak yang mendakwa itu memaksa orang ramai percaya dan yakin dengan ceritanya dan tidak boleh pula pihak yang tidak percaya, memaksa orang ramai untuk tidak mempercayainya atau menolaknya. Semuanya terserah sepenuhnya kepada setiap individu untuk percaya atau menolaknya, meyakini atau mengingkarinya. Juga tidak boleh seseorang itu memaksa orang lain untuk bersikap tawaquf dalam hal ini.
Pihak yang percaya, hanya boleh menekankan pendapatnya itu kepada orang ramai jika dia benar-benar boleh mendatangkan bukti-bukti yang kukuh dan hujah yang jitu, yang bertepatan dengan dalil-dalil daripada hadis-hadis. Pihak yang menolak pula, hendaklah mendatangkan hujah-hujah yang jelas dan bukti-bukti yang tepat jika maukan orang ramai turut menolak hujah pihak pertama tadi. Jika tidak ada hujah dan tiada pula bukti yang dapat membantu, lebih baik diam sahaja dan serahkan urusan ini kepada Allah SWT untuk menentukan seterusnya. Kita tidak b oleh berbuat lebih daripada apa yang telah digariskan oleh para ulama muktabar dahulu.
ust Hawari Abdul Malek
pengarang " Imam Mahdi, Rahsia Kegemilangan Ummat Islam Akhir Zaman"
bersambung..
No comments:
Post a Comment