Followers

nuffnang

Tuesday, 3 July 2018

AT-TAQWA : Syarat, Rukun dan Jalannya

PRAKATA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Puji dan syukur pada Allah SWT. Rahmat dan keredhaan Allah pada Rasul-Nya Muhammad SAW. Semoga selamat kita semuanya berserta hamba-hamba-Nya yang baik. Buku ini membincangkan perkara-perkara di sekitar persoalan
taqwa. Taqwa itu sangat penting. Ia merupakan aset umat Islam dunia dan Akhirat. Ia adalah  keselamatan dunia dan Akhirat. Ia adalah kemenangan dunia dan Akhirat. Ia adalah juga perlindungan dunia dan Akhirat.

Semenjak dahulu, inilah faktor yang membawa kepada bantuan Allah SWT di dalam segala usaha ikhtiar umat Islam. Terutama di kalangan para Sahabat. Allah buka pintu hati manusia sehingga mudah menerima kebenaran, mudah menerima Islam dan mudah dalam perjuangan. Allah buka
laluan kepada perkembangan Islam yang pesat. Allah buka laluan dengan didatangkan para pendokong yang berkemampuan membangunkan umat. Allah datangkan rasa berani yang luar biasa kepada umat Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada para penentang.

Di zaman para Tabiin di mana golongan taqwa masih ramai di tahap pemimpin hingga ke rakyat biasa, maka Allah buka pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Ketika Barat masih dalam era kegelapan, Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu pengetahuan. Ttapi itu semua telah berlalu dan sudah menjadi fakta sejarah. Telah berlaku satu zaman di mana umat Islam asyik dengan Allah dan merindui Akhirat. Berlaku juga satu zaman yang telah Allah curahkan segala-galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa.

 Kini, umat Islam sudah tidak bertaqwa lagi. Bila tidak bertaqwa, hati jadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas kita melupai Allah SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah melupai kita. Sepertimana tidak ada kuasa yang dapat menahan apabila Allah kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak ada sebarang kuasa yang berdaya untuk menebus kekalahan dan kehinaan umat Islam apabila Allah kehendaki ia berlaku begitu. Taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah. Ertinya kalau tertinggal maka khutbah tidak sah. Bila khutbah tidak sah, tidak sahlah sembahyang Jumaat dan tidak sahlah sembahyang sunat hari raya. Ini menunjukkan besarnya sifat taqwa hingga ia menjadi rukun khutbah. Namun taqwa itu bukan sahaja tidak dihayati malah kurang difahami oleh umat Islam.\

Taqwa ini telah disalahertikan. Ia telah diremehkan, diambil ringan dan tidak dititikberatkan. Fahaman tentang taqwa ini telah ipermudahkan. Taqwa hanya ditakrifkan sebagai buat apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Pengertian seperti ini tidak mempunyai roh atau tidak membabitkan pengertian yang mendalam. Maka jadilah ia sesuatu yang hambar dan tidak memberi manfaat. Akibatnya, umat Islam seolah-olah terasing dan terpisah dari persoalan taqwa. Taqwa tidak lagi menjadi teras dalam kehidupan umat Islam. Ia hanya tinggal sebutan yang ramai umat Islam tidak faham apa sebenar maksud, hakikat dan tuntutannya
.
Oleh kerana taqwa ini adalah syarat dan landasan untuk umat Islam mendapatkan dunia dan Akhirat, maka tanpa taqwa, umat Islam terumbang-ambing dalam kehidupan. Akhirat terlepas, dunia berciciran. Umat Islam terpaksa meniti di atas landasan orang kafir. Sebab itu umat Islam terhina di manamana, ditindas dan diperkotak-katikkan, miskin, mundur dan berpecah belah. Umat Islam tidak ada wibawa, tidak ada maruah dan tidak ada kekuatan. Ramai ulama dan ustaz-ustaz yang memahami bahawa sifat taqwa itu adalah bekalan untuk negeri Akhirat semata-mata. Tidak dapat dinafikan itulah yang paling penting. Itulah yang paling asas. Namun, kalau orang mukmin hendak senang juga
di dunia, mestilah berbekalkan sifat taqwa. Kerana sifat taqwa itu merupakan jalan atau landasan untuk mendapatkan dunianya.

Hendak mendapatkan keuntungan dalam ekonomi mesti dengan sifat taqwa. Hendak mendapat kemenangan dalam perjuangan mesti ada taqwa. Hendak mendapat bantuan dan pertolongan Tuhan juga adalah kerana taqwa. Hendak terlepas dari bala bencana atau azab penderitaan di dunia juga mesti berdasarkan sifat taqwa. Kalau orang Islam itu tidak ada sifat taqwa, Tuhan bantu juga. Tuhan bagi makan juga. Tuhan bagi ilmu juga selama mana mereka hidup. Tapi cara ini bahaya. Tuhan bagi secara kutukan. Tuhan bagi secara murka. Tuhan bagi secara tidak redha. Ini samalah caranya Tuhan bantu orang kafir iaitu atas dasar istidraj yakni dengan kemurkaan. Itu sebenarnya adalah tipuan dari Tuhan. Akhirnya dengan bantuan seperti itu, dia terjun ke Neraka. Dengan bantuan seperti itulah dia akan membuat kezaliman dan kejahatan di atas muka bumi. Kerana mendapat sesuatu dari Tuhan secara tidak sihat, maka hasilnya tidak sihat dan natijahnya juga tidak sihat. Ia rosak dan merosakkan.

Amalan taqwa pula bukan setakat sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran, berwirid dan berzikir. Bukan juga bersuluk dan beruzlah, menjauhkan diri dari orang ramai. Taqwa bukan sahaja di surau dan di masjid. Taqwa merangkumi segala perkara yang berlaku dalam kehidupan, di mana sahaja, baik dalam kehidupan bermasyarakat seharian, dalam ekonomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, kesihatan dan sebagainya.

Yang penting, setiap amalan itu ada rohnya, dihayati dan dijiwai. Barulah setiap amalan itu menjadi amalan taqwa. Kita mesti bertaqwa kepada Allah sejauh yang termungkin. ‘Sejauh yang termungkin’ di sini bermaksud turun naik nafas, mendengar, melihat, makan minum, berjalan dan berhibur, kesemuanya mesti dijadikan amalan taqwa. Jangan ada satu hembusan nafas yang tidak jadi taqwa. Jangan ada seulas nasi yang tidak jadi taqwa. Jangan ada satu pendengaran atau penglihatan
yang tidak jadi taqwa. Sebenarnya erti taqwa itu terlalu besar. Ia aset untuk orang Islam dunia dan Akhirat. Kalau ini difahami dan dihayati, barulah kita akan selamat dunia Akhirat. Wabillahil hidayah wa taufik.

Wassalam

Ustaz Hj. Ashaari Muhammad
30 Disember 2004
18 Zulkaedah 1425

1 comment:

Azhan said...

tq atas perkongsiannya..