Followers

nuffnang

Monday, 7 September 2015

DAHSYATNYA SAKARATULMAUT!

KITA mengetahui bahawa satu masa nanti akan tiba saat sakaratul maut. Sakarat merupakan saat sebelum kita berada di alam barzakh, yang hampir dengan kematian. Ketika itu merupakan saat yang perlu kita lalui dan pada sesetengah manusia, ia adalah waktu yang paling penting kerana penentuan ini adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: ‘Setiap amalan ini berdasarkan kepada penyudah di dalam hidup kita’. Malah di dalam kehidupan kita, baginda mengingatkan agar kita sentiasa berdoa : ‘Ya Allah tolong sudahkan lah kehidupan kami ini dengan husnul khatimah dan jangan sekali-kali matikan kami di dalam ini di dalam keadaan suul khatimah.’
Dalam rancangan Mau’izati yang bersiaran setiap Khamis jam 5.15. petang di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menyebut bahawa Sakarat terbahagi kepada dua iaitu sakarat yang membahagiakan seseorang dan ada sakarat yang menjadikan kecelakaan kepada seseorang yang berdasarkan kepada amalan sepanjang kehidupan di dunia ini. Orang yang hampir dengan kematian, di antara perkara yang akan diubah oleh Allah ialah masa yang dirasakan panjang. Saat ini dibuka hijab pada matanya, dan kita akan mula melihat bagaimana para malaikat turun untuk mencabut nyawa membawa bahan-bahan yang akan digunakan untuk tujuan itu. Menurut hadis riwayat Barraq bin A’zid anak Adam ini akan ditegur oleh malaikat:‘Wahai anak Adam aku mencari setitis air untuk kamu telan sudah tidak ada, aku cari selangkah untuk kamu melagkah sudah tidak ada, aku cari sepatah perkataan yang keluar daripada mulut kamu sudah tidak ada, wahai roh sila keluar daripada jasad ini.’
Pada waktu inilah kita akan melalui saat sakarat dan mengalami kesakitan yang amat sangat. Jika digambarkan sakitnya kematian ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-ghazali di dalam kitabnya, semua bahagian anggota tubuh yang disentuh akan merasai sakit sehingga rasa itu menjalar didalam darah, daging, tulang-tulangnya ketika tiba saat nyawanya akan dicabut. Urat saraf orang yang hampir dengan kematian akan merasa sakit, begitu juga sendi-sendi dan setiap akar-akar rambut hingga hujung kaki. Hujung jari kaki akan jatuh sedikit demi sedikit.
Sakitnya sakaratul maut itu dikatakan bagai ditikam dengan  seratus libasan pedang, terasa bagai digergaji, digunting tubuh badan. Terlalu menyakitkan sehingga jeritan suara tidak kedengaran dan rasa sakit itu memuncak sehingga menembusi ke dasar hati. Akibatnya hilang semua tenaga dan semua anggota badan jatuh serta menjadi sangat lemah, tidak berdaya untuk meminta pertolongan sekali pun. Kesakitan akibat sakaratul maut sehingga melumpuhkan akal, membungkam lidah dan melemahkan semua sendi-sendi. Sebenarnya pada saat itu ingin sekali dia berteriak dan bertempik untuk memohon bantuan, namun tiada kuasa dan kemampuan untuk melakukannya.
Imam Qurtubi rahimahullah di dalam kitabnya Tazkirah fi Al-Amwat, menjelaskan pada ketika inilah malaikat mula masuk. Malaikat daripada kumpulan yang pertama akan memasuki tubuh melalui hujung kaki terlebih dahulu. Tarikan melalui hujung kaki sehingga ke bahagian lutut memutuskan urat-urat di dalam tubuh badannya sampai peringkat dia tidak mampu melakukan apa-apa lagi.  Hanya kedengaran dengusan nafas ketika menahan kesakitan. Pada peringkat kedua, malaikat mula menarik roh daripada bahagian lutut sehingga ke perut. Roh akan mula turun ke bahagian pusat dan mula kesejukan. Ketika itu warna kulit akan berubah menjadi keabu-abuan mirip kepada warna tanah liat. Sekujur tubuh di bahagian dalam dan luar akan merasa sangat pedih. Bola mata akan terbeliak memandang ke atas, lidahnya akan mengerut masuk ke dalam, bibir akan mengetap dan tertarik  ke belakang,  dan bagi lelaki, kedua buah zakarnya terangkat naik kerana menahan kesakitan, kemudian keadaan hujung jari jemari berubah warna menjadi hitam kehijau-hijauan dan badan menjadi kaku.
Telapak kaki mula menjadi sejuk, kemudian menjalar sehingga ke bahagian betis dan peha, sehingga sakarat tiba di bahagian kerongkong atau halkum. Urat-urat di bahagian perut akan terangkat naik, pada waktu inilah tiba saat yang sangat penting dan kelihatan titik-titik peluh pada bahagian dahinya. Beruntunglah mereka yang mengalami keadaan seperti ini, kerana di saat itu dia dapat melihat rahmat dan tempatnya di dalam syurga Allah. Waktu ini malaikat mula turun, malaikat akan berubah kepada wajah ayah dan ibunya, serta meminta agar tidak bimbang dan takut dengan kematian dengan menyampaikan khabar gembira bahawa syurga Allah sedang menanti bagi mereka yang beriman kepada-Nya. Pada saat itulah wajahnya akan menjadi sangat jernih dan mula melihat tempatnya di dalam syurga. Apabila rohnya mulai keluar melalui mata, mulutnya secara pantas akan menyebut Lailahaillah Muhammadarrasulullah. Keluar sahaja rohnya, lalu disambut oleh 600,000 para malaikat Allah.
Di dalam hadis riwayat Bariq bin Azid, Rasulullah menjelaskan di saat roh keluar daripada jasad seumpama air yang mengalir daripada cerek dan dimasukkan ke dalam bekas. Setelah roh dimasukkan ke dalam bekas itu, maka seluruh alam akan berbau harum dan para malaikat menyebut beruntunglah dia kerana tergolong di kalangan ahli syurga Allah. Hanya dua makhluk di muka bumi ini yang tidak dapat menghidu keharuman daripada roh itu, iaitu jin dan manusia.
Roh akan mula keluar daripada jasad dan malaikat akan membungkus roh ini dengan bungkusan kasturi. Lalu roh akan dinaikkan ke langit yang pertama, malaikat yang menjaga langit yang pertama akan bertanya “ Roh siapakah ini?’, dan dijawab, “Roh fulan bin fulan”, para malaikat berkata beruntunglah dia kerana ditempatkan di dalam syurga Allah. Kemudian dinaikkan roh tersebut ke langit kedua dan seterusnya hingga ke langit yang ketujuh. Apabila dihadapkan di hadapan Allah, Allah SWT menyebut tentukan dia di dalam syurga Illiyeen. Lalu roh itu akan diturunkan terus berada dihujung kepalanya, pada saat ini kita akan mula hidup di alam ketiga dan akan nampak bagaimana jasad diuruskan dan sebagainya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 September 2015

No comments: