Kejohanan Bolasepak Piala Dunia tahun ini bukan saja dijadikan kesempatan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai medan mendekati golongan muda melalui program Feista Samba Brazil 2014 yang diadakan di seluruh negara, tetapi juga sebagai medan menunjukkan hubungannya yang boleh bergurau senda dengan Perdana Menteri, Najib Razak.
Sempena Piala Dunia tahun ini, Khairy Jamaluddin atau KJ melalui melalui kementerian yang diterajuinya telah menganjurkan program Fiesta Samba Brazil 2014 dengan memilih 14 tempat di seluruh negara sebagai tempat untuk peminat bolasepak menonton semua perlawanan secara langsung melalui skrin besar yang disediakan.
Pada malam perlawanan pertama, KJ telah berada di Dataran Merdeka menonton bolasepak bersama ribuan wargakota dan turut juga mengadakan pertandingan menjaringkan gol di mana beliau menjadi penjaga gawangnya. Sesiapa yang berjaya menjaringkan gol juga akan diberikan hadiah misteri.
Setelah berjaga sehingga subuh memeriahkan program di Dataran Merdeka itu, KJ cuba bergurau dengan menulis di twitternya yang ditujukan kepada Perdana Menteri -@NajibRazak Boss, saya demam panas, badan sakit tak boleh bangun sejak semalam. Maaf tak dapat kerja hari ni, esok hantar slip MC #CubaNasib.
Najib kemudiannya membalas tulisan KJ itu dengan tulisan - @Khairykj Glad you felt well enough to coma for Cabinet Meeting #MCDitolak.
Setelah mendapat balasan daripada Najib itu, KJ kemudiannya menulis lagi bahawa ini adalah sebagai pengajaran kepada sesiapa yang cuba kelentong boss masing-masing sempena Piala Dunia ini.
Gurau senda antara KJ dengan Najib ini menjadi viral dan bualan di media sosial di mana ribuan pengguna laman sosial telah meretweet atau memasukkannya ke laman sosial Facebook. Sementara ada yang memuji, mengeji dan menyindir KJ serta Najib kerana gurau senda itu, satu perkara yang nyata ialah ialah KJ telah berjaya menunjukkan kepada umum hubungannnya yang rapat dan boleh bergurau senda dengan Perdana Menteri.
Tidak seperti menteri atau pemimpin UMNO dan kerajaan lain yang hanya berkomunikasi secara formal atau memaklumkan program serta aktiviti masing-masing kepada Najib melalui laman mikro Twitter, KJ sebaliknya telah memanfaatkan bahawa beliau jauh lebih ke depan berbanding yang lain dalam penggunaan media sosial ini.
Dengan gurau sendanya mendapat respon yang menghiburkan daripada Najib, KJ juga menjadi satu-satunya menteri yang setakat ini boleh berbuat demikian dengan seorang Perdana Menteri.
KJ juga tentunya gembira kerana hubungannya yang boleh bergurau senda itu telah diketahui oleh sebahagian besar rakyat negara ini.
Ini sekaligus menyerlahkan hubungan yang rapat antara Najib dengan KJ walaupun daripada tahun 2009 hingga 2013 lalu beliau diketepikan oleh Najib daripada menduduki sebarang jawatan dalam kerajaan. Hanya dalam penyusunan kabinet selepas PRU 13 barulah KJ dimasukkan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Keadaan ini juga menyerlahkan bahawa Najib mungkin sudah melupakan kejadian di mana KJ pernah pergi ke rumah Anwar Ibrahim sebaik beliau dibebaskan daripada penjara untuk menguruskan passportnya bagi menjalani pembedahan tulang belakang di Jerman.
Peristiwa yang berlaku ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri itu telah menimbulkan spekulasi kemungkinan Anwar turut dibawa kembali menyertai UMNO. Najib sendiri serta ramai kalangan dalam UMNO dilaporkan tidak senang dengan perkembangan itu dan ketika itu KJ dikatakan terpaksa menemui Najib untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan rasional pemergiannya ke rumah Anwar itu.
Namun kini nampaknya semua kesangsian itu telah berakhir.
Hubungan mesra Najib dengan KJ ini juga dikatakan sebagai membalas budi kesediaan Pak Lah mengundurkan diri dan menyerahkah jawatan Perdana Menteri kepadanya.
Dengan kejayaan KJ menunjukkan hubungannnya yang mesra, intim dan boleh bergurau senda dengan Najib itu, tidak diragui bukan saja menghapuskan kesangsian dalam UMNO sendiri terhadap karier masa depannya, bahkan bakal menyerlahkan lagi masa depannya yang semakin cerah selagi Najib menjadi Perdana Menteri.
Najib juga dilaporkan amat menyenangi prestasi dan keupayaan KJ sehinggakan ketika Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melawat Malaysia baru-baru ini pun beliau telah memilih menantu Pak Lah itu sebagai menteri pengiring.
Jika ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri, KJ dilabel sebagai "budak nakal" dan "ketua budak-budak tingkat 4" yang dikatakan mempengaruhi pentadbiran ketika itu sehingga menimbulkan rasa tidak senang bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, perjalanan masa nampaknya telah mentransformasi beliau menjadi "anak emas" kepada Najib Razak pula.
Jika pun tidak dalam rombakan kabinet yang terdekat ini, dalam rombakan yang seterusnya nanti pasti menyaksikan KJ turut mengalami kenaikan pangkat dalam kerajaan. Tindakan saling berbalas gurauan yang ditunjukkan ini mungkin salah satu petunjuk ke arah itu dan menunjukkan turut menyenangi antara satu sama lain yang jarang ditunjukkan oleh Najib terhadap menteri yang lain. (SH 13/06/2014) KREDIT SUMBER: SHAHBUDIN.DOT COM
No comments:
Post a Comment