Followers

nuffnang

Sunday, 7 November 2010

IM 7:: Mahdi Tempatan

oleh:
Ust Hawari Abdul Malek

[sambungan]
Selain Imam Mahdi yang sebenar, yang hakiki itu, terdapat pula di setiap penjuru alam ini, orang-orang yang boleh kita gelarkan sebagai Mahdi tempatan. Maksudnya kepercayaan kepada Mahdi itu mempunyai bentuknya yang khas bagi sesuatu tempat. Hal ini dapat dikesan melalui riwayat-riwayat orang dahulu seperti yang diceritakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami sendiri, atau oleh Imam as-Suyuti RH atau orang-orang lain. Ahli sejarah juga turut merakamkan peristiwa ini dalam buku-buku sejarah mereka.
Contohnya di Nusantara ini, terdapat bentuk Imam Mahdi yang khas Nusantara dan berwatak Nusantara. Contoh yang paling ketara adalah kepercayaan kepada datangnya Ratu Adil di kalangan masyarakat Jawa. Ratu Adil akan membawa kemakmuran dan keadilan kepada seluruh rakyat. Keadaan ini amatlah jauh berbeda daripada sifat-sifat Imam Mahdi seperti yang diceritakan oleh hadis-hadis.
Di Makassar pula, kepercayaan yang hampir sama turut didapati dengan gelaran Karaeng Data. Demikian jelas Prof. Dr. Hamka. Di India, terdapat pula bentuk dan watak Mahdi yang lebih mirip tempatan di sana yaitu Imam Mahdi, Nabi Isa dan rasul penghujung zaman. Di negara-negara Arab sendiri, terdapat jenis-jenis Mahdi tempatan yang mirip dengan keadaan masyarakat yang diwakilinya. Sungguh pun mereka berbangsa Arab dan berbahasa Arab pula, sifat-sifat Mahdi mereka itu tetap jauh berbeda daripada apa yang terdapat di dalam hadis.
Di Afrika juga, keadaan yang sama turut berlaku. Terdapat beberapa jenis Mahdi tempatan yang mirip dengan cara dan kebudayaan tempatan. Sejak dahulu hingga kini, memang silih berganti muncul orang yang mendakwa dirinya sebagai Mahdi, dengan ciri-ciri tempatan tertonjol jelas padanya. Yang paling jelas adalah di Sudan, Maghribi dan Mesir. Mungkin salah satu tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mendapatkan simpati dan sokongan daripada penduduk setempat. Maka ramailah simpati yang menyokong mereka, karena Mahdi itu adalah khas untuk penduduk tempatan, dan berwatak tempatan pula. Keturunannya juga adalah dari kalangan penduduk tempatan juga.
Di tempat-tempat lain di dunia ini juga mempunyai Mahdi mereka sendiri. Pengaruh-pengaruh Mahdi ini lebih bercirikan tempatan dan dipengaruhi oleh kepercayaan menurut agama yang diwakili olehnya. Memang dari semasa ke semasa, ada sahaja orang yang mengaku dirinya Mahdi dan berjaya pula mempengaruhi orang ramai dengan dakwaannya itu. Ada yang menjadi amat ekstrem dengan Mahdi mereka itu dan ada pula yang biasa sahaja terhadap Mahdi mereka itu.
Dan tidak dinafikan bahwa kemunculan pribadi-pribadi sedemikian dari semasa ke semasa itulah yang mempengaruhi para penentang konsep Imam Mahdi untuk menolak terus kepercayaan kepada kemunculan Imam Mahdi yang sebenar. Memang sekali imbas, kemunculan orang-orang sebegini hanya merusakkan umat Islam dan menguntungkan pihak musuh. Mereka seolah-olah lupa bahwa Imam Mahdi yang sebenar hanya ada seorang sahaja di dunia ini, yang lain-lain itu sepatutnyalah ditolak. Janganlah hanya dikarenakan ramai yang mendakwa sebagai Imam Mahdi, maka Imam Mahdi yang sebenarnya pun kita tolak sama, dan kemunculannya pun kita nafikan.
Hadis-hadis mengenai Imam Mahdi itu tidak bersalah, jangan dihukum dengan hukuman yang tidak patut diterimanya, dan Imam Mahdi yang hakiki itu juga tidak bersalah. Tidak patutlah beliau itu dipersalahkan. Yang bersalah dalam hal ini adalah orang-orang yang mendakwa dirinya Imam Mahdi sedangkan dia itu bukanlah Imam Mahdi. Ciri-ciri khusus yang disebutkan oleh hadis satu pun tidak ada pada dirinya, mana mungkin dia itu boleh menjadi Imam Mahdi? Kita sebagai orang awam perlu bijaksana dan matang menangani masalah furuk ini. Kita perlu tahu bila kita kena menolak, dan tahu pula bila harus menerimanya.


No comments: